fbpx

Promosi TVET perlu jelas dan berterusan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Razman (Kanan) mendengar penerangan daripada salah seorang pelajar kimpalan di Kolej Vokasional Kerian hari ini. - Foto oleh WAT KAMAL ABAS

Oleh WAT KAMAL ABAS

BAGAN SERAI – Dalam usaha kerajaan melahirkan tenaga kerja yang mempunyai kemahiran tinggi untuk negara, promosi berkaitan Pendidikan Teknik dan Latihan Vokasional (TVET) perlu jelas dan berterusan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendididikan, Pembangunan Modal insan, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan Masyarakat Sivil Perak, Razman Zakaria berkata, promosi tersebut akan berfungsi sebagai tarikan agar ia menjadi pilihan ramai.

Katanya, kerajaan telah membelanjakan jutaan ringgit untuk menyediakan peralatan latihan kepada Kolej Vokasional bagi melatih para pelajarnya mendapatkan kemahiran tinggi sesuai dengan minat dan bidang yang dipilih.

“Bidang kemahiran teknikal yang disediakan kerajaan masih belum mendapat sambutan hangat dalam kalangan pelajar walaupun bidang tersebut mempunyai masa depan yang cerah termasuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

“Oleh itu, promosi bagi menggalakkan pelajar mengikuti pengajian TVET perlu diadakan secara konsep bersama melalui penerangan kepada pelajar, ibu bapa dan guru sekolah supaya ia menjadi pilihan paling utama mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Apa Yang Anda Perlu Tahu Tentang Kolej Vokasional di Kolej Vokasional Kerian di sini hari ini.

Sementara itu, seorang pelajar Kolej Vokasional Kerian, Nor Rabiatul Adawiyah Mohd. Zalani, 18, berkata, hasratnya untuk menceburi bidang kimpalan pada awalnya ditentang ibu namun minat yang mendalam terhadap bidang tersebut menyebabkan dia tetap memilih jurusan kimpalan.

“Bermula dengan menonton dokumentari mengenai kimpilan di laman web YouTube, saya terus berminat untuk menceburinya.

“Ibu pada awalnya menentang kerana bidang ini biasanya dipelopori golongan lelaki namun selepas mendapat penerangan sepatutnya, ibu, ayah dan ahli keluarga lain menyokong keinginan saya ini selain memberikan dorongan untuk terus berjaya,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI