fbpx

Pesan suami supaya banyak bersedekah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan kenderaan Perodua Aruz dipandu mangsa yang maut dalam kemalangan di Alam Impian, Shah Alam, petang semalam.

Oleh ISKANDAR SHAH MOHAMED

SHAH ALAM – Pilu seorang wanita menadah lumuran darah suaminya yang maut selepas Kenderaan Utiliti Sukan (SUV) jenis Perodua Aruz dinaiki mereka dilanggar sebuah kereta lain di Persiaran Tun Teja, Alam Impian di sini, semalam.

Dalam kejadian pukul 3.45 petang, Ahmad Safwan Sulian, 32 yang merupakan seorang jurutera meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Sementara itu, isteri mangsa, Nur Shahirah Ismail, 33, cedera ringan manakala dua anak mereka iaitu Ahmad Adam Harraz, 3, serta Nur Damia Husna,5, tidak mengalami kecederaan.

Menceritakan detik kejadian tersebut, Nur Shahirah berkata, mereka dalam perjalanan pulang ke rumah di Alam Impian selepas selesai menyempurnakan urusan di sekitar daerah ini.

Katanya, setibanya di lokasi kejadian kenderaan mereka terbabit kemalangan dengan suaminya cedera parah serta tersepit.

“Saya hanya mampu menadah darah yang berlumuran pada wajah arwah selain melaungkan kalimah ‘Lailahaillalah’ berulang kali kepadanya.

“Tidak beberapa lama kemudian, saya dan dua anak yang berada di tempat duduk belakang dibawa keluar ke tempat selamat,” katanya ketika ditemui di kediaman keluarga arwah suaminya di Seksyen 19 di sini petang ini.

Nur Shahirah menambah, tiada perubahan ketara dilihat pada suaminya kecuali arwah sempat berpesan supaya sentiasa bersedekah.

Ujarnya, arwah seorang sangat mementingkan kesihatan ibu bapanya yang berusia 67 dan 68 tahun dengan sebelum ini kerap membuat temujanji untuk urutan dan bekam untuk mereka.

Jenazah Ahmad Safwan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 di sini kira-kira pukul 11.30 pagi tadi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, siasatan awal mendapati kenderaan mangsa telah dilanggar sebuah kereta jenis Proton Perdana dipandu lelaki berusia 36 tahun yang terbabas selepas hilang kawalan.

“Pemandu itu yang juga parah kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang selain sampel darah telah diambil bagi mengesan sama ada dia memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI