MOHD. AZAM menunjukkan data mengenai kehadiran calon SPM ketika ditemui di Melaka semalam.

Calon SPM dikesan ponteng sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Oleh DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA

MELAKA – Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) risau mengenai masa depan lebih 1,600 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang ponteng sekolah dan menjadikan pelan tindakan bagi membantu mereka menduduki peperiksaan penting itu menjadi sia-sia.

Pengarahnya, Dr. Mohd. Azam Ahmad berkata, pihaknya bimbang dengan trend tersebut ke­rana kehadiran pelajar tingkatan lima hanya 85.94 peratus daripada 11,559 calon SPM pada Ogos lalu.

Katanya, pelan tindakan itu membantu pelajar menduduki SPM yang dijangka pada awal Januari 2021 dengan mantap.

“Bagaimanapun, segala persiapan itu akan menjadi sia-sia sekiranya jumlan calon SPM yang hadir dan menjalani kurikulum sekolah kurang daripada 90 pe­ratus.

“Ogos lalu, hanya 85.94 peratus pelajar tingkatan lima hadir dan ini menunjukkan lebih 1,600 calon SPM ponteng sekolah daripada jumlah ke­seluruhan 11,559 murid yang direkodkan Kementerian Pendidikan Malaysia,” katanya ketika ditemui Kosmo!.

Tambahnya, JPN bimbang tindakan tersebut akan menyebabkan pelajar tidak dapat menduduki SPM dengan sempurna sekali gus menjejaskan masa depan mereka.

Menurut Mohd. Azam, antara penyebab pelajar ponteng ialah faktor rakan sebaya dan sikap pelajar yang mungkin telah berputus asa atau terlalu selesa selepas beberapa bulan tidak bersekolah ekoran pandemik Covid-19.

“Selain itu, ada pelajar tidak hadir ke sekolah kerana tidak cukup rehat selepas pulang lewat malam. Justeru, saya meminta ibu bapa bertegas kepada anak-anak mereka bagi memastikan pendidikan mereka terjaga,” katanya.

Ujar Mohd. Azam, mungkin segelintir ibu bapa masih terkesan dan bimbang dengan penularan Covid-19, namun beliau menegaskan sekolah adalah zon selamat di mana setakat ini tiada kes direkodkan.

“Sekolah menyediakan ruang dan kemudahan dalam pematuhan prosedur standard operasi (SOP) yang ditetapkan, malah setiap kelas calon SPM juga te­lah diagihkan peruntukan seba­nyak RM600 untuk memastikan kelancaran pembelajaran dan keselesaan pelajar,” katanya.

Jelasnya, Ujian Diagnostik kedua akan diadakan pada 28 hingga 15 September ini dan pihaknya akan menjalankan pelan sokongan pembelajaran kepada kelompok yang memerlukan berdasarkan keputusan pe­periksaan.

Terdahulu, Mohd. Azam ber­kata, Melaka menduduki tempat keenam mengikut gred purata negeri keputusan SPM pada tahun lalu dan menyasarkan jumlah peratusan lulus meningkat agar pelajar dapat menyambung pendidikan di peringkat lebih tinggi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN