fbpx

Waran tangkap Azwanddin batal selepas hadir ke mahkamah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azwanddin ketika hadir di Mahkamah Tinggi di sini hari ini

KUALA LUMPUR – Waran tangkap yang dikenakan terhadap bekas Presiden Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) Datuk Azwanddin Hamzah telah dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas dia hadir ke mahkamah pada pendengaran kes permohonan komital.

Perkara itu dimaklumkan peguam Datuk Sankara Nair yang mewakili bekas Menteri Industri Utama,  Teresa Kok Suh Sim selaku plaintif selepas  prosiding pengurusan kes itu dalam kamar di hadapan Hakim Datin Rohani Ismail.

Menurut Sankara Nair sekiranya defendan tidak hadir pada hari ini mahkamah akan mengambil  tindakan.

“Oleh kerana dia (defendan) hadir  waran tangkap terhadapnya dibatalkan, ” katanya.

Berikutan kehadiran Azwanddin di mahkamah, Sankara Nair memaklumkan pihaknya menarik balik permohonan komital tersebut namun dalam masa sama telah memfailkan satu petisyen penghutang (bankruptcy petition) terhadap Azwanddin.

“Berhubung dengan petisyen penghutang, kes akan didengar di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 16 November ini, “katanya.

Terdahulu dalam prosiding itu Azwanddin tidak diwakili peguam.

Pada 28 Ogos lalu, Azwanddin dikenakan waran tangkap kerana gagal hadir prosiding komital yang difailkan Teresa.

Waran tangkap itu dikeluarkan selepas mahkamah bersetuju dengan selepas Azwanddin selaku defendan ingkar pada arahan mahkamah untuk hadir pada prosiding pendengaran.

Permohonan komital itu difailkan Teresa pada 8 Oktober tahun lalu berikutan Azwanddin telah melanggar terma penghakiman persetujuan dalam kes saman fitnah dikemukakan teresa berhubung ucapan fitnah terhadapnya yang telah diselesaikan secara baik tahun lalu.

Ia berhubung Azwanddin gagal mengemukakan permohonan maaf yang diterbitkan di tiga akhbar iaitu Sinar Harian,  The Star dan Sinchew Daily serta membayar kos kepada menteri itu dalam tempoh 45 hari bermula daripada tarikh penyelesaian kes pada 29 Julai, 2019.

Sebelum itu Teresa memfailkan saman fitnah pada Azwanddin pada 8 Januari, 2019 dengan mendakwa Azwanddin sebagai presiden JMM ketika itu telah menyampaikan ucapan yang antara lain mengandungi perkataan berunsur fitnah secara lisan, fitnah bertulis dan pembohongan dalam satu perhimpunan di Dataran Seni Klang, Selangor pada 25 Disember, 2018.

Kes saman itu berhubung ucapan dan kenyataan Azwanddin yang didakwa Kok mengaitkannya dalam insiden kuil Sri Maha Mariamman, Seafield, Subang Jaya. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI