fbpx

Rampas jika pemilik tanah berdegil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang penduduk menunjukkan lokasi pembuangan sampah haram di di Kampung Seri Sentosa di Ijok. FOTO: ZULFADHLI ZAKI

Oleh ISKANDAR SHAH MOHAMED

KUALA SELANGOR – Tindakan tegas termasuk merampas tanah akan dilakukan sekiranya pemilik sebuah tapak pembuangan sampah haram di Kampung Seri Sentosa, Ijok di sini masih berdegil menjalankan aktiviti tersebut.

Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Rahilah Rahmat berkata, pihaknya memandang serius berhubung isu itu kerana sering kali menjadi tumpuan pesalah untuk membuang sampah di kawasan tersebut.

Katanya, sebanyak lima Notis Menghapuskan Kacauganggu telah dikeluarkan kepada pemilik tanah sehingga bulan lalu kerana menjalankan aktiviti tanpa kebenaran di bawah Seksyen 82 (5) Akta Kerajaan Tempatan.

“Selain itu, kami mengeluarkan tujuh kompaun selain menyita empat lori dan 27 Notis memberhentikan kerja tambakan menggunakan sampah binaan.

“MDKS dengan kerjasama Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor serta Jabatan Alam Sekitar (JAS) sentiasa bertindak mengikut bidang kuasa masing-masing bagi memastikan pemilik tanah menerima hukuman setimpal termasuk merampas tanah,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Ujar Rahilah, pihaknya akan meletakkan penghadang konkrit di semua lokasi laluan masuk tapak sampah haram tersebut selain beberapa tindakan mengorek tanah di jalan masuk tersebut telah dilakukan.

“Kami juga akan memanggil semua pemilik tanah Kampung Seri Sentosa untuk membincangkan penyelesaian isu itu bersama ketua kampung dan beberapa agensi terlibat,” katanya.

Tambahnya, MDKS akan mengambil tindakan sitaan lori dan kompaun kepada pemilik tanah secara serta merta sekiranya didapati masih menjalankan aktiviti pembuangan dan pembakaran sampah terbuka itu.

Beliau turut meminta orang ramai untuk menyalurkan maklumat berhubung isu tersebut secara atas talian di laman sesawang selangor.spab.gov.my.

Kosmo! semalam melaporkan sebuah tapak pembuangan sampah haram di kawasan itu sehingga menyebabkan penduduk terpaksa menghidu bau busuk selama lima tahun. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI