fbpx

98 peratus permohonan diluluskan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Sebanyak 98 peratus daripada permohonan bantuan bayaran balik pinjaman yang lengkap diterima dan diproses telah diluluskan pihak bank setakat 11 September.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) CIMB Group Holdings Bhd. (CIMB), Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata, institusi perbankan telah menghubungi dua juta peminjam untuk menawarkan bantuan pembayaran balik susulan pengakhiran tempoh moratorium automatik 30 September ini.

Menurut beliau, antara golongan yang  terkesan akibat Covid-19 berdasarkan data daripada pihak bank adalah daripada   industri penerbangan, pembinaan dan pelancongan.

“Daripada jumlah tersebut, seramai 1.4 juta peminjam telah memberikan maklum balas dan lebih 380,000 peminjam mengesahkan mereka memerlukan bantuan pembayaran balik.

“Sekitar 70 peratus peminjam yang berjaya dihubungi memaklumkan mereka tidak memerlukan bantuan, manakala selebihnya masih mempertimbangkan opsyen bantuan yang disediakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi meja bulat media bersama CEO bank terpilih dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) yang diadakan di Sasana Kijang di sini semalam.

Beliau mewakili pihak bank-bank yang hadir pada sesi berkenaan.

Turut hadir CEO AKPK, Azaddin Ngah; CEO Bank Rakyat, Datuk Rosman Mohamed; CEO Bank Islam, Mohd. Muazzam Mohamed; CEO Hong Leong Bank, Domenic Fuda; Ketua Perkhidmatan Kewangan Komuniti Malaysia Maybank, Hamirullah Boorhan dan Ketua Perbankan Runcit Kumpulan RHB Bank, Rakesh Kaul.

 

Menurut beliau, daripada 380,000 peminjam yang membuat permohonan, 26,000 daripadanya datang dari sektor perusahaan kecil dan sederhana manakala 354,000 lagi ialah peminjam individu.

Sementara itu, Abdul Rahman menegaskan, pelaksanaan moratorium pinjaman bersasar dan fleksibiliti pembayaran balik adalah penting untuk pemulihan ekonomi dan menyifatkan golongan yang terus menerus meminta moratorium automatik dilanjutkan sebagai bersikap populis.

“Penamatan moratorium automatik ini amat penting bagi institusi kewangan mandapatkan data, siapa yang mampu membayar dan siapa yang perlu dibantu menuju ke hadapan..

“Sekarang pihak bank tidak pasti akan kualiti pembiayaan dan peminjam jadi sukar untuk bank memberi pinjaman untuk merangsang pemulihan ekonomi.

“Transisi kepada moratorium bersasar ini amat penting kerana ia membolehkan pihak bank memfokuskan perhatian mereka kepada pihak yang benar-benar memerlukan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN