ALOR SETAR – Meskipun terhalang untuk melangsungkan pernikahan di Siam berikutan arahan kerajaan yang menutup pintu sempadan, ramai dalam kalangan rakyat negara ini telah pun membuat tempahan bagi melaksanakan majlis di sana suatu masa kelak.
Perkara itu didedahkan oleh seorang ejen yang mengakui mengetahui ada dalam kalangan mereka telah pun menerima bayaran tempahan pernikahan di Siam.
Seorang ejen yang ingin dikenali sebagai Amran memberitahu, ada rakyat Malaysia membayar deposit sebanyak RM500 kepada ejen sebagai pendahuluan kepada kos pernikahan di negara jiran tersebut.
Katanya, bayaran itu adalah sebahagian kos pakej penuh yang bakal dibayar iaitu antara RM2,000 hingga RM6,000 setiap pasangan.
“Saya sendiri sudah menerima lebih 40 permohonan daripada pasangan kekasih yang mahu bernikah di Thailand sepanjang PKP ini,” ujarnya.
Bagaimanapun dakwa Amran, dia tidak mengambil tempahan awal dan hanya menerima bayaran selepas pintu sempadan dibuka kelak.

Katanya, pengambilan deposit itu dilakukan bagi memastikan proses membawa pasangan ke Thailand dapat dibuat secepat mungkin sebaik kerajaan membenarkan pintu sempadan Malaysia-Thailand dibuka.
Malaysia kini sedang melaksanakan PKP Pemulihan yang akan berakhir pada 31 Disember ini.
Dakwa Amran, wang deposit yang diterima sekurang-kurangnya dapat membantu ejen pernikahan dalam keadaan mereka ketiadaan sumber pendapatan sekarang ini.
“Baki bayaran pula perlu diselesaikan selepas majlis nikah berakhir apabila pintu sempadan dibuka.
“Jika dapat enam pasangan sebulan, ejen sudah peroleh RM3,000 dan bagi saya, ia mencukupi untuk kelangsungan hidup mereka,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Dalam pada itu, dia mengakui sumber pendapatannya sebagai ejen nikah Siam terputus sejak PKP dan terpaksa membuat kerja-kerja lain untuk menyara keluarga.
“Kira-kira 70 peratus pendapatan saya adalah dari perkhidmatan ejen tersebut dan pada masa ini, saya melakukan kerja-kerja kampung.
“Saya berharap pintu sempadan akan dibuka tidak lama lagi,” katanya.
“Saya biasanya menerima antara 10 hingga 20 pasangan yang mahu bernikah di Siam setiap bulan yang mana pendapatan bersih yang saya peroleh bagi setiap pasangan hanya kira-kira RM300,” tambahnya.
Semalam Kosmo! melaporkan ejen-ejen nikah di Thailand mampu meraih pendapatan lumayan sehingga RM85,000 sebulan berikutan permintaan tinggi kekasih yang ingin bernikah secara ‘senyap’ di negara jiran itu.
Bagaimanapun, mereka terpaksa ‘melopong’ apabila pernikahan tidak dapat dijalankan susulan PKP akibat Covid-19.
















