fbpx

Anwar, Lembaga Pengampunan gagal batal saman kes liwat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla

KUALA LUMPUR – Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lembaga Pengampunan gagal dalam permohonannya untuk membatalkan saman pemula yang difailkan peguam Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz berhubung pengampunan penuh berhubung kesalahan meliwat di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili Mohd. Khairul Azam selaku plaintif ketika ditemui berkata mahkamah membuat keputusan itu selepas mendapati kes saman pemula yang menamakan Anwar dan Lembaga Pengampunan masing-masing defendan pertama dan kedua tidak wajar ditolak ketika ini.

“Mahkamah mendapati terdapat isu yang perlu dibicarakan dan tidak ada halangan kepada mahkamah mendengar merit kes kerana apa yang dicabar adalah nasihat yang diberikan Lembaga Pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA) . Dalam kes ini plaintif merupakan orang awam dan juga seorang peguam yang mempunyai locus standi (hak undang-undang) ,” katanya.

Terdahulu Hakim Datuk Akhtar Tahir berkata
YDPA ketika itu menjalankan fungsinya sebagai cabang eksekutif ketika memberikan kuasa  pengampunan kepada Anwar, oleh itu ia membabitkan prosedur dan undang-undang.

“Jika ia adalah membabitkan kuasa eksekutif, mengapa ia tidak boleh didengar dan dibicarakan di mahkamah. Jadi ia bukan satu kes saman pemula yang boleh ditolak begitu saja pada peringkat ini,” katanya.

Justeru mahkamah menetapkan 24 hingga 26 Mac tahun depan bagi perbicaraan kes saman tersebut.

Dalam prosiding itu Anwar diwakili peguam J. Leela manakala Peguam Kanan Persekutuan, Natra Idris mewakili Lembaga Pengampunan.

Mengikut penyataan tuntutan saman yang difailkan pada 26 Februari lalu, plaintif berkata pada 10 Februari 2015, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara lima tahun yang dijatuhkan oleh Mahkamah Rayuan terhadap Ahli Parlimen Port Dickson itu atas dakwaan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

Bagaimanapun, peguam itu mendakwa pada 9 Mei 2018, selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 dan kerajaan baharu dibentuk, beberapa tindakan salah dan tidak berperlembagaan dilaksanakan bagi memastikan Anwar mendapat pengampunan dan dibebaskan daripada hukuman penjara dijalaninya.

Dakwa plaintif, selepas dua hari kerajaan baharu dibentuk, Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, dalam sidang media pada 11 Mei 2018, mengumumkan bahawa YDPA bersetuju memberikan pengampunan penuh kepada Anwar.

Mohd Khairul Azam mendakwa pengampunan penuh yang diberikan kepada Anwar bercanggah dengan Perkara 42(4) dan (5) Perlembagaan Persekutuan berikutan kuasa pengampunan oleh YDPA hendaklah dilaksanakan dengan nasihat oleh Lembaga Pengampunan.

Dakwanya, Lembaga Pengampunan belum dibentuk dengan sempurna selepas pembentukan kerajaan baharu dan adalah mustahil bagi Lembaga Pengampunan dapat bersidang memberikan nasihat kepada YDPA bagi memberikan pengampunan kepada Anwar.

Oleh itu, plaintif antara lain memohon pengisytiharan bahawa Lembaga Pengampunan telah ditubuhkan secara tidak sah di sisi Perlembagaan Persekutuan bagi tujuan bersidang dan seterusnya menasihati YDPA berkenaan rayuan pengampunan Anwar, mengakibatkan nasihat yang diberikan kepada YDPA adalah tidak sah dan terbatal. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI