SELEPAS beberapa bulan ditangguhkan akibat pandemik Covid-19, gergasi penerbitan filem Disney akhirnya memilih tanggal 4 September lalu sebagai tarikh tayangan filem Mulan.
Mulan sepatutnya ditayangkan pada 27 Mac lalu, namun berdepan penangguhan sebanyak tiga kali gara-gara dunia berdepan penularan Covid-19 yang merencatkan hampir semua sektor industri di seluruh dunia.
Penantian panjang tersebut bagaimanapun dibayangi kontroversi yang pernah dicetuskan oleh aktres utamanya Liu Yifei.
Pada tahun lalu, Yifei pernah bertindak memuat naik status menyatakan sokongan terhadap polis Hong Kong ketika berlakunya krisis antara China dengan Hong Kong.

“Saya menyokong tindakan keras polis Hong Kong terhadap aktivis prodemokrasi.
“Kalian boleh menyerang saya sekarang. Sungguh memalukan buat Hong Kong,” tulisnya dalam platform media sosial Weibo.
Tahun lalu, dunia menyaksikan berlakunya protes di Hong Kong selepas China semakin menyekat kebebasan bersuara penduduk pulau itu.
Kesan kontroversi tersebut, filem Mulan berdepan ancaman boikot daripada ramai pihak sehingga tanda pagar #BoycottMulan menjadi tular dalam media sosial Twitter.
Tindakan pelakon berusia 33 tahun itu disifatkan ramai sebagai salah satu usaha menyokong kekejaman pihak berkuasa Hong Kong.
Bagai menyimbah minyak ke atas api yang belum reda, Yifei sekali lagi mengundang amarah ramai apabila menyifatkan dirinya orang Asia dan bukannya China ketika temu bual bersama majalah Variety pada Mac lalu.

Rata-rata rakyat republik tersebut menuduh dia lupa asal usul dan jati dirinya yang dilahirkan sebagai orang China.
Bahkan, ada yang mempersoalkan mengapa watak ikonik Mulan diberikan kepada seseorang yang bukan dalam kalangan warganegara asal kerana aktres itu kini memiliki status warganegara Amerika Syarikat (AS) selepas menetap di sana sejak berusia 10 tahun.
Biarpun berdepan kecaman hebat dari seluruh dunia, isu berkenaan bagaimanapun tidak pernah meninggalkan sekelumit gusar dalam hati aktres kelahiran daerah Wuhan itu.
“Sangat merugikan kalau saya membiarkan tekanan (kontroversi) itu mengganggu tanggungjawab untuk filem ini,” ujarnya pendek seperti dipetik laporan The Hollywood Reporter.
Mulan yang disiarkan secara eksklusif menerusi platform penstriman Disney+ dengan cara penonton perlu melanggan pada harga AS$29.99 (RM124.20) memberi impak positif apabila berlaku peningkatan jumlah muat turun aplikasi tersebut sebanyak 68 peratus.
Namun, rekod tersebut tetap tidak mampu menutup jurang jualan tiket panggung apabila Mulan dilaporkan berdepan sambutan kurang menggalakkan di China dengan catatan AS$23.2 juta (RM96 juta) untuk tempoh seminggu pertama.
Barangkali nama Liu Yifei masih asing dalam kalangan peminat sebelum ini. Mulan menjadi jendela untuk masyarakat mula memberi perhatian untuk mengenali lebih dekat siapakah gerangan wanita itu.

Siapa Liu Yifei
Sebelum berjaya mengggenggam watak Hua Mulan, ironi Yifei terpaksa berdepan dengan saingan 1,000 calon lain termasuklah aktres Taiwan, Hu Ting-ting ketika menghadiri saringan uji bakat.
Pengarah filem berkenaan, Niki Caro menyifatkan pencarian panjang selama setahun akhirnya berbaloi selepas menemui Yifei yang cukup sempurna untuk menyelami karakter Hua Mulan.
“Dia ada semangat Hua Mulan. Bijak, kuat dan pandai bermain senjata menjadi daya tarikan utama dirinya. Bukan sekadar cantik tetapi bentuk wajahnya ada aura kacak.
“Kehadirannya dalam kalangan watak askar-askar lelaki yang berbadan tegap tidak menimbulkan rasa canggung sama sekali,” ujar Niki yang menitikberatkan tiga karakter utama ketika mencari Mulan iaitu pandai berbahasa Inggeris, handal seni mempertahankan diri dan mampu membawakan watak penyamaran sebagai lelaki.
Mula bekerja pada usia seawal lapan tahun dengan bergelar model, pengalaman tersebut menjadi titik tolak kepada dirinya untuk mengorak lebih jauh dalam industri hiburan.
Ketika usianya 15 tahun, pelakon itu mengikuti pengajian di Institut Persembahan Akademi Filem Beijing sebelum mula melakukan debut dalam lakonan menerusi drama The Story of A Noble Family (2003).
Dalam masa setahun selepas memulakan debut yang menjulang popularitinya ketika itu, Yifei pantas mencuri perhatian kalangan penerbit apabila dilamar membintangi Demi-Gods and Semi-Devils.
Pakej wajah jelita dan mempunyai pesona memukau menjadikan pelakon yang juga dikenali dengan nama Crystal Liu itu pantas mencipta kemasyhuran sehingga laluan untuknya menjadi bintang filem terbentang mudah.
Pelakon yang berpindah ke Amerika Syarikat pada 1997 itu memulakan debut dalam layar perak menerusi filem The Forbidden Kingdom (2008) di samping aktor ternama Jackie Chan dan Jet Li.

Nyanyian
Karier lakonan yang memuncak sejak 2003 menjadikan nama Yifei tersenarai dalam kategori Four Dan Actresses.
Terma tersebut merujuk kepada aktres yang mempunyai nilai komersial paling tinggi di China.
Selain fasih berbahasa Inggeris, Yifei yang merupakan anak tunggal dalam keluarganya juga sangat mahir bertutur dalam bahasa Korea dan Jepun.
Kemampuan berbahasa asing yang dimiliki aktres berketinggian 170 sentimeter itu bukan perkara baharu kerana dia juga pernah bergelar penyanyi.
Pada 2006, dia meluncurkan single bahasa Jepun berjudul Mayonaka no Door bawah syarikat Sony Music Entertainment Japan sebelum kemudiannya menawan China dan Hong Kong dengan album debut berjudul Liu Yifei pada Ogos tahun sama.
Meskipun karier lakonannya lebih menyerlah, semua itu tidak bermakna bakat nyanyian Yifei dipandang sepi.
Buktinya single Mayonaka no Door diangkat menjadi lagu tema anime adaptasi daripada animasi popular Demashita! Powerpuff Girls Z.















