fbpx

Faizal kekal ‘somebody’ dengan Nobody

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FAIZAL TAHIR

SEDARI zaman program realiti One In A Million (OIAM), Faizal Tahir sememangnya mempunyai karakter nyanyian dan komposisi muzik yang tersendiri. Waima ketika dia mula meluncur dengan kumpulan Mirwana, secara peribadi, penulis sudah nampak, Faizal boleh bergerak sendiri dan memercikkan impak secara solo.

Berselang lebih 15 tahun, Faizal kini antara penyanyi lelaki tempatan yang sentiasa membuat ramai merinding terutama apabila dia menyanyikan lagu berentak balada atau melankolik.

Terbaharu, lelaki berusia 42 tahun itu muncul dengan karya berjudul Nobody, sebuah perkongsian bersulam signatur muzik dan penghayatan vokal tersendiri daripada Faizal.

Lagu berkenaan bermula perlahan dengan lirik yang memberi maksud mendalam kepada mana-mana pendengar.

“Pernah ku berjanji akan menjagamu hingga tamat usia, biar apa saja menduga namun hari ini telah pun tercipta hari untukku pulang,” itu mukadimah lirik Nobody yang bagi penulis, sangat menyentuh.

Lirik menyentuh

Nobody cuba menyimpulkan bahawa kita semua boleh menjadi somebody kepada orang lain atau orang yang kita sayang namun di sisi Tuhan Yang Maha Kuasa, kita hanyalah semut kecil yang memegang predikat nobody.

Bagi manusia yang percayakan kewujudan Tuhan, tiada kuasa yang melebihi kudrat Ilahi yang berupaya mematikan sesuatu yang hidup dan sebaliknya.

Sedalam mana rasa cinta kita terhadap seseorang, orang yang kita sayang tidak akan selama-lamanya berada di sisi kita kerana pada pada akhirnya, kita semua akan kembali kepada Dia Yang Maha Mencipta.

Itu kesimpulan yang penulis dapat zahirkan daripada nukilan lirik indah Nobody. Hairan, walaupun tulisan lirik sedikit bercampur dengan perkataan bahasa Inggeris, Faizal seperti biasa, tidak pernah gagal menjentik jiwa pendengar.

Itu satu kejayaan direalisasikan menerusi lagu berkenaan.

Menyentuh soal komposisi muzik, penulis sememangnya antara pengikut jaluir karya Faizal. Dia bukan sahaja penyanyi yang bagus, bahkan tahu apa perlu dan harus dijayakan dari segi penciptaan lagu.

Seperti yang tertulis pada perenggan awal, lagu tersebut bermula perlahan namun sampai ke bahagian korus, Nobody seumpama membuka nuansa baharu dengan emosi rock yang sedikit rancak.

Bagaimanapun, tiada seinci cela yang memberi konotasi negatif terhadap perjalanan karya, sama ada daripada aspek muzik mahupun lirik.

Perihal tersebut membuktikan bahawa Faizal sebagai pendendang lagu telah berjaya membadai jiwa setiap pendengarnya.

Malang sekali, Faizal sudah tidak berminat untuk bertanding dalam Anugerah Juara Lagu (AJL).

Untuk itu, penulis hanya boleh membayangkan raungan penuh penghayatan dan gimik persembahan yang pasti berada pada kelas tersendiri.

Akhir kata buat Faizal dan pasukan, terima kasih atas perkongsian indah sedemikian.

Sedikit kata semangat daripada seseorang yang amat menghormati karya anak seni seperti anda, jangan berhenti berkarya. Terus berjuang walaupun putaran muzik zaman ini sedikit ‘menggila’ dengan pendekar-pendekar muda yang sepertinya dahagakan perhatian dan populariti tetapi tiada roh untuk mekar sepanjang zaman.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI