fbpx

Timbalan pengarah syarikat didakwa memudaratkan pemberi maklumat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tertuduh, Wafiy mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan atas pertuduhan mengambil tindakan yang memudaratkan terhadap pemberi maklumat dalam sebutan kali pertama di Mahkamah Kuala Lumpur di sini hari ini.

KUALA LUMPUR – Seorang timbalan pengarah sebuah syarikat pengambilan pelajar warga asing didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan seorang kakitangan lain dipecat setelah memberikan maklumat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Tertuduh, Wafiy Abd. Aziz, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azman Ahmad.

Mengikut pertuduhan, Wafiy didakwa telah mengambil tindakan memudaratkan terhadap pemberi maklumat, iaitu dengan cara mengapi-apikan Pengerusi Education Malaysia Global Services, Datuk Abdul Rahman Mohamed Sharif supaya menandatangani satu dokumen penamatan perkhidmatan terhadap seorang kakitangan.

Perbuatan itu dilakukan sebagai satu tindak balas terhadap pendedahan kakitangan tersebut berhubung kelakuan tidak wajar tertuduh kepada pihak SPRM.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat Education Malaysia Global Services di Jalan Mayang Sari di sini pada 9 Januari lalu.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 10(3)(b) Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711).

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi lima belas tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM, Mohd. ‘Afif Ali mencadangkan ikat jamin sebanyak RM30,000 berserta seorang penjamin warganegara.

Menurut Mohd. Afif, jumlah ikat jamin itu adalah wajar selepas mengambil kira beberapa faktor termasuk melindungi saksi yang akan memberikan keterangan.

Bagaimanapun tertuduh yang diwakili peguam Siti Sarah Khalil memohon jumlah ikat jamin dikurangkan dengan alasan tertuduh tiada rekod gagal hadir ke mahkamah.

“Sehingga kini belum ada lagi saksi yang dinamakan akan dipanggil memberi keterangan,” kata peguam itu.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, Hakim Azman membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 berserta seorang penjamin warganegara termasuk syarat tambahan menyerahkan pasport selain melapor diri kepada SPRM dalam tempoh masa yang ditetapkan.

Pada masa sama tertuduh juga diingatkan agar tidak mengganggu atau berhubungan dengan individu yang akan dipanggil menjadi saksi.

Semalam Kosmo! Online melaporkan seorang seorang pegawai kanan sebuah syarikat akan didakwa atas pertuduhan menyebabkan seorang kakitangan lain dipecat setelah memberikan maklumat kepada SPRM berkaitan salah laku yang dilakukan tertuduh.

SPRM dalam satu kenyataan berkata, pihaknya amat prihatin dengan masalah yang terpaksa dihadapi oleh pemberi maklumat sekiranya mereka dikenakan tindakan atas pendedahan jenayah rasuah yang dilakukan oleh pihak tertentu.

Menurutnya, peruntukan undang-undang tersebut menggalakkan pendedahan maklumat mengenai sebarang jenayah rasuah atau salah laku lain di samping memberikan perlindungan kepada pemberi maklumat daripada sebarang tindakan yang memudaratkan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI