fbpx
Polis serbu premis judi online kaut untung RM5.16 juta di Ara Damansara petang tadi.

Sindiket judi online kaut untung RM5.16 juta setahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Polis bongkar kegiatan dua sindiket judi online yang mengaut keuntungan RM5.16 juta sejak setahun lalu selepas menyerbu dua premis di Ara Damansara petang tadi.

Serbuan yang dilakukan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya turut membawa kepada tangkapan tujuh individu termasuk seorang wanita yang berusia lingkungan 30-an.

Pegawai Risikan dan Operasi Bahagian Siasatan Jenayah IPD Petaling Jaya, Asisten Superintendan Mohd. Hafiza Mohamad Razali berkata, hasil siasatan mendapati dua sindiket itu sudah beroperasi sejak setahun lalu dan mensasarkan kaki judi warga tempatan.

Katanya, mereka beroperasi 24 jam setiap hari dan mempromosikan kegiatan tersebut menerusi aplikasi WhatsApp, WeChat, Telegram dan Facebook.

“Mereka yang ditahan terdiri daripada dua sindiket berasingan dan hasil siasatan mendapati setiap sindiket mengaut keuntungan RM18,000 sehari dan purata RM5.16 juta bagi tempoh setahun mereka beroperasi.

“Dalam serbuan itu, kita merampas 12 komputer yang digunakan untuk berkomunikasi dengan pelanggan dan beberapa peralatan lain” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan hari ini.

Menurutnya lagi, tangkapan membabitkan dua penyelia dan lima pekerja warga tempatan.

“Penyelia dibayar upah RM4,000 sebulan manakala pekerja pula RM2,500. Siasatan juga mendapati setiap premis itu disewa dengan kadar RM1,600 sebulan.

“Kesemua tangkapan dibawa ke balai untuk siasatan lanjut,” ujarnya. – K! ONLINE