fbpx

Norma baharu bekerja dari rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
WAN HASNAN WAN HASAN PENGARANG KOSMO!/KOSMO! AHAD.

Pelaksanaan konsep bekerja dari rumah oleh beberapa sektor kerajaan dan swasta yang bermula sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu telah menimbulkan pelbagai reaksi dalam masyarakat.

Walaupun pada mulanya kelihatan agak janggal,namun semakin hari kelihatannya semakin diterima ramai dan buktinya banyak tugasan dapat diselesaikan dengan lebih baik oleh para pegawai serta kakitangan yang bekerja dari rumah.

Ekoran itu, sudah ada suara-suara yang mahu cara kerja baharu ini diteruskan oleh majikan walaupun pandemik Covid-19 yang melanda dunia ketika ini berakhir kelak.

Persoalannya, wajarkah norma baharu bekerja dari rumah ini diteruskan walaupun pandemik Covid-19 berakhir nanti dan apakah impikasinya kepada pekerja atau majikan sama ada untuk sektor perkhidmatan awam ataupun swasta jika ia benar-benar dilaksanakan kelak?

Secara umumnya, mungkin tidak semua kerja atau tugas yang diamanahkan boleh dilakukan dari rumah, namun jika sebahagian daripada tugasan itu dapat dilaksanakan tanpa perlu seseorang pekerja datang ke pejabat, ia mungkin satu perkembangan yang menarik.

Tentu sekali norma kerja baharu ini mempunyai kelebihan dan kekurangan tertentu, namun jika pengalaman pelaksanaannya semasa PKP diambil kira, operasi pejabat yang melaksanakan sistem bekerja dari rumah itu nampaknya berjalan lancar dan baik.

Malah, sesetengahnya lebih baik berbanding mereka yang bekerja di pejabat.

Antara kelebihan bekerja dari rumah kepada petugas ialah, mereka dapat memberi perhatian penuh kepada tugas yang diberi tanpa perlu lagi memikirkan untuk membuang masa menghadapi kesesakan lalu lintas.

Mereka juga tidak perlu lagi membayar kos untuk petrol atau tol setiap kali ke tempat kerja.

Kepada pihak majikan pula, kos operasi akan dapat dikurangkan kerana jika norma baharu bekerja dari rumah ini dilaksanakan, sudah tentu mereka tidak perlu lagi menyediakan ruang pejabat yang besar.

Apabila ruang pejabat sudah tidak besar, maka kos-kos utiliti seperti bil elektrik, telefon, air dapat dikurangkan.

Tidak kerterlaluan jika dikatakan, masalah kesesakan lalu lintas yang membelenggu warga kota serta penduduk di bandar raya besar di seluruh negara akan dapat diatasi apabila jumlah mereka yang keluar ke pejabat untuk bekerja dapat dikurangkan.

Pun begitu, norma baharu bekerja dari rumah ini perlu diteliti secara mendalam sebelum dilaksanakan.

Antaranya ialah perkara-perkara yang melibatkan aspek sokongan teknologi digital, keselamatan maklumat, kesesuaian pelaksanaan kepada skim-skim perkhidmatan tertentu serta implikasi perundangan yang terlibat perlulah diberi perhatian terlebih dahulu.

Paling utama ialah soal produktiviti yang sudah tentu tiada kompromi mengenainya kerana tiada guna majikan membenarkan pekerjanya melakukan tugas yang diberi di rumah tetapi hasil produktivitinya mengecewakan.

Paling penting ialah ia perlu benar-benar dapat memenuhi serta menepati tujuan sebenar pelaksanaannya dan memberi kebaikan dan keuntungan kepada kedua-dua belah pihak iaitu majikan dan pekerja.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI