fbpx
BEKAS mengandungi daging biawak air yang dirampas Perhilitan Johor dalam satu serbuan bersepadu bersama IPD Seri Alam, di Masai, semalam.

Restoran hidang babi hutan, biawak air diserbu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Oleh KHAIRUL MOHD. ALI

JOHOR BAHRU – Siapa sangka restoran yang kelihatan seperti kedai makan biasa menawarkan hidangan eksotik membabitkan daging babi hutan dan biawak air kepada pelanggannya.

Perkara itu terbongkar selepas restoran di Jalan Tanjung Masai dekat sini diserbu Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan ) Johor dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam semalam.

Pengarah Perhilitan Johor, Salman Saaban berkata, operasi bersepadu itu dijalankan pada pukul 1 tengah hari.

Katanya, dalam operasi itu, pihaknya menemui dua bekas plastik mengandungi daging babi hutan dan tujuh bekas plastik mengandungi daging biawak air.

“Siasatan mendapati pemilik premis berusia 57 tahun itu gagal mengemukakan dokumen untuk menyimpan daging haiwan berkenaan.

“Sehubungan itu, polis menahan lelaki tersebut termasuk seorang pekerja warga India kerana memiliki dokumen perjalanan tamat tempoh,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Salman, daging itu untuk dijual kepada pelanggan yang mengunjungi restoran berkenaan untuk menikmati daging haiwan eksotik terbabit.

“Laporan polis telah dibuat dan kesemua barang kes dibawa ke Jabatan Perhilitan negeri untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (716) kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen sah memiliki bahagian hidupan liar,” katanya. -K! ONLINE