“SASTERAWAN Negara pertama, Keris Mas pernah berkata, orang yang berjuang, ada dua kemungkinan, sama ada hilang atau terbilang,” demikian ungkapan pembuka bicara vokalis kumpulan Margasatwa, Kimal, sekali gus dengan mudah memperkenalkan corak karakter peribadinya.
Seketika kemudian, sahabat yang juga rakan duet dalam lagu terbaharu, Selamatkan Legasi, Monoloque menyahut bersahaja: “Setiap kali kau cakap, aku rasa seriau. Sebelum ini kau petik ayat Usman Awang (tertawa).”
Begitulah cetusan kimia melambangkan pertalian erat antara dua lelaki yang tidak pernah jemu mengangkat budaya dan adat leluhur melalui platform muzik walaupun kurang diberikan perhatian khalayak kebanyakan.

– MUHAMAD IQBAL ROSLI
Sayangnya, kemasyhuran genre arus perdana adakala membuatkan jiwa-jiwa pemuzik seperti Kimal dan Loque teroleng-oleng mencari arah di tengah gelombang tumpuan ramai.
“Tanyakan saya tentang respons pihak radio terhadap karya yang kami perjuangkan, saya boleh jawab, apa pun yang terjadi, kami akan teruskan dengan atau tanpa sokongan mereka,” luah Loque atau nama lengkapnya, Khairil Ridzwan Anuar, 42.
Tidak kecewa radio pilih kasih
Monoloque yang mesra disapa sebagai Loque cuba bersikap jujur. Dia tidak kecewa, namun pada masa yang sama, bukan dia tidak cakna dengan penerimaan radio atau platform sewaktu dengannya terhadap karya-karya yang cuba mereka lazimkan ke halwa telinga pendengar.
Jauh di sudut hatinya juga, sesekali dia memasang impian untuk menyaksikan lagu-lagu yang dimomokkan sebagai ‘kuno’ namun kaya instrumen tradisional diterima sama seperti genre-genre komersial atau kontemporari lain.
“Saya ingin juga lagu-lagu yang kami dendangkan boleh didengar daripada corong-corong radio atau di sepanjang Sungai Klang ke Sungai Besar. Bukan kami tidak endahkan lagu kami tidak dimainkan, namun kami juga tidak kecewa.
“Kalau itu tidak berlaku pun, tidak mengapa. Kita jalan terus. Seni dan karya kami melampaui populariti atau glamor yang lazimnya dikejar ramai,” ungkap Loque.
Ujar mantan vokalis kumpulan Butterfingers itu lagi, lihat sahaja gelombang global cetusan Korea Selatan yang berjaya ‘mendunia’ melalui karya muzik dan filem mereka. Bukan berniat untuk membuat perbandingan namun di situ, ada perkara yang boleh diteladani.
“Industri muzik K-pop misalnya bukan berjaya dikenali dunia hasil kerja keras semalaman. Kerja keras mereka semestinya sedari dahulu mungkin makan masa berpuluh tahun sehingga menjadi satu daya yang amat dihormati hingga ke Hollywood.
“Baik cabang muzik mahupun filem mereka, lihat di mana mereka berada sekarang. Mereka sangat bangga dengan apa (budaya) yang mereka ada tanpa perlu ikut sangat telunjuk orang Barat,” kata Loque.

Kurang apresiasi
Turut menyokong kenyataan yang disampaikan Loque, Kimal atau nama lengkapnya, Mohd Akmal Hakim Mokhtar, 28, memasang hujah: “Apa yang kami cuba sampaikan melalui muzik mungkin tidak digemari ramai, namun jujur saya katakan di sini, inilah ‘wajah’ kita.
“Negara kita kaya budaya dan berbilang bangsa. Kita ada apa yang orang atau negara lain tiada, namun kita tidak sedar perkara itu. Lagu yang ada alat muzik seperti gamelan, gong dan sebagainya, itulah identiti kita.
“Janganlah apabila sudah ada band Barat datang ke negara kita dan main alat muzik tradisional milik kita, barulah kita mahu terhegeh-hegeh dengan apa yang kita ada dan mula mahu menunjukkan penghargaan.”
Panjang lebar memberi penekanan bahawa muzik melambangkan identiti sesuatu bangsa, bicara Loque dan Kimal menyentuh tentang karya terbaharu mereka yang sebenarnya sudah ‘terperam’ hampir satu dasawarsa.
Jelas Loque, material berjudul Selamatkan Legasi bukanlah sebuah lagu asing buat dirinya.
Hakikatnya, lagu tersebut sudah dikaryakan sejak 2012 tetapi disebabkan sedikit ralat, lagu tersebut terbiar seketika.
“Saya berdepan kekurangan dari segi emosi ketika itu kerana ‘pitch’ lagu ini sangatlah tinggi. Lagu itu tidak mampu disampaikan oleh saya sehingga terpaksa digugurkan daripada album Lagu Perang (Bunyian Gamelan Melayu Di Abad ke-21).
“Lagu itu terperam selama lebih lapan tahun, kemudiannya dibedah siasat dan dirombak semula sehinggalah satu masa, saya terfikir untuk membawa lagu ini bersama-sama Kimal dan Njwa.
Itulah takdir kami bersama Selamatkan Legasi.
“Anggaplah ada perkara yang belum selesai, satu projek terbengkalai dan sekarang merupakan masa yang paling sesuai untuk dizahirkan,” tutur Loque.

Bohemian Rhapsody
Meneruskan bicara, Loque tidak menafikan lagu berkenaan mempunyai ‘vibe’ atau semangat seperti lagu Bohemian Rhapsody nyanyian band ulung dunia, Queen.
“Lagu ini berdurasi sekitar enam minit. Jadi, apabila anda kata lagu ini macam Bohemian Rhapsody, saya rasa itu betul. Kerana di dalamnya ada elemen joget dan bermacam lagi,” ulasnya ringkas.
Mengidolakan Loque, Kimal pula menyifatkan pelawaan Monoloque untuk bekerjasama menerusi Selamatkan Legasi bagaikan impian jadi kenyataan.
Dalam diam, dia merupakan peminat kumpulan Monoloque sejak di bangku sekolah
“Saya tidak malu untuk mengaku yang saya adalah peminat kumpulan Monoloque sejak bangku sekolah lagi. Saya mengikuti kumpulan ini dan bercita-cita untuk menjadi seorang pemuzik meskipun ketika itu saya sendiri tidak tahu bermain alat muzik.
“Apabila Monoloque pelawa saya berkolaborasi, saya sangat berbesar hati dan teruja.
“Dia merupakan antara inspirasi saya untuk memberi aspirasi kepada orang lain melalui muzik.
“Single ini merupakan gabungan pelbagai muzik tradisional dalam lagu rock.
“Jadi saya cuba bereksperimentasi dengan pelbagai muzik Melayu seperti rentak, joget, ghazal dan asas utamanyanya ialah gamelan,” kata Kimal menutup bicara.















