fbpx

BAM fokus sirkit Asia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NORZA mengakui BAM akan mempersiapkan pemain negara menyertai sirkit Asia biarpun tidak dapat ke saingan Piala Thomas dan Uber yang ditangguhkan akibat Covid-19.

SELEPAS Persekutuan Badminton Dunia (BWF) membuat keputusan untuk menunda kejohanan Piala Thomas dan Uber yang sepatutnya berlangsung bulan depan, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mula mencongak pelan seterusnya.

Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, pihaknya sedia memberikan sepenuh fokus dalam usaha mengekalkan kecergasan semua pemain selain bersiap sedia bagi menghadapi sirkit kejohanan di rantau Asia.

Pada masa sama, beliau me­ngakui kejohanan Piala Pre­siden yang menjadi simulasi Piala Thomas dan Uber bermula hari ini tetap diteruskan bagi memastikan pemain berada dalam keadaan kompetitif.

“Buat masa sekarang, BAM akan lakukan analisis serta penilaian terhadap semua pemain dalam usaha mengesan serta memperbaiki setiap kelemahan yang ada. Piala Presiden tetap diteruskan bagi mengekalkan tahap kompetitif setiap pemain.

“Mungkin kita tidak ke Piala Thomas tetapi kita akan lakukan persiapan bagi menghadapi sirkit Asia. BAM juga sudah beri maklum balas kepada negara-negara berminat menganjurkan kejohanan rantau Asia ini,” kata Norza.

Beliau yang juga Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menjelaskan, ketika ini hanya negara-negara Eropah menganjurkan sirkit kejohanan diselia BWF, namun ada beberapa negara Asia sudah menawarkan diri untuk menjadi penganjur kejohanan sedemikian.

Terdahulu, BWF mengumumkan kejohanan Piala Thomas dan Uber yang sepatutnya berlangsung di Aarhus, Denmark bermula 3 hingga 11 Oktober depan ditunda ke tarikh yang belum diputuskan.

Keputusan itu terpaksa dibuat selepas beberapa negara terma­suk juara 13 kali Piala Thomas, Indonesia, Thailand, Korea Selatan, Australia dan Taiwan menarik diri kerana masih bimbang de­ngan pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, BWF tetap meneruskan kejohanan Terbuka Denmark yang akan berlangsung pada 13 hingga 18 Oktober depan dan akan dijadikan sebagai platform bagi menetapkan protokol keselamatan berhubung ­Covid-19.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI