fbpx

NCIA jangka wujud lebih 160,000 peluang pekerjaan di empat negeri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rasdi Ibrahim (kanan) menerangkan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin cara pembuatan produk hasil laut di Pusat Memprosesan Hasil Perikanan Pulau Pangkor, Pulau Pangkor hari ini. Foto: ZULFACHRI ZULKIFLI.

Oleh SHAMSUL KAMAL AMARUDIN

LUMUT – Pelan Pembangunan Strategik (SDP 2021-2025) Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dijangka mewujudkan lebih 160,000 peluang pekerjaan baharu di empat negeri terlibat dengan wilayah ekonomi itu.

Pada masa sama, diunjurkan lebih 42,000 usahawan dapat diwujudkan manakala pelaburan terkumpul dijangka berkembang kepada RM146.5 bilion dalam tempoh berkenaan.

Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dalam kenyataannya, berkata perkara penting SDP itu ialah dijangka purata pendapatan isi rumah dan pendapatan isi rumah median B40 di NCER, masing-masing dijangka mencecah RM10,500 dan RM4,200.

Katanya, SDP itu yang menekankan pendekatan dinamik telah dibentangkan di Mesyuarat NCIA ke-23 (PB23) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Pulau Pangkor dekat sini hari ini.

Mesyuarat itu dihadiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Kewangan, Datuk Sri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man; Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Turut hadir ialah, Pengerusi Bersama (Industri) Kumpulan Industri Malaysia-Kerajaan untuk Teknologi Tinggi (MIGHT), Tan Sri Dr Ahmad Tajuddin Ali; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS, Tengku Muhammad Taufik Tengku Kamadjaja Aziz dan Ketua Eksekutif NCIA, Datuk Seri Jebasingam Issace John.

NCER merangkumi negeri-negeri Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Perlis.

Menurut kenyataan NCIA, SDP menjangkakan NCER akan menjadi ekonomi bernilai RM300 bilion menjelang tahun 2025.

Bagaimanapun, disebabkan pandemik Covid-19 yang berterusan, sasaran berkenaan telah dianjak selama dua tahun lagi.

“Namun, NCIA telah pun mencapai pelaburan direalisasi terkumpul berjumlah RM115.9 bilion sehingga Julai 2020, dan mewujudkan 140,000 peluang pekerjaan di NCER,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, SDP adalah rangka kerja yang mantap dan strategik yang menggabungkan situasi semasa di negeri-negeri NCER bagi menangani impak pandemik tersebut.

Ujarnya, projek strategik, pelaburan berimpak tinggi dan program modal insan telah direka untuk segera menyelesaikan keperluan semasa rakyat dan perniagaan serta industri bagi mengurangkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI