fbpx
WARUNG ini menerima sambutan hangat daripada orang ramai yang beratur panjang untuk menikmati roti canai pelangi.

Roti canai lima perisa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

“SAYA ingat ada kenduri kahwin. Lengkap dengan dekorasi bunga matahari, ditambah pula kewujudan khemah dan kelibat orang menjaga lalu lintas.”

Demikian pandangan pertama Mohd. Lokmanulhakim Md. Ghazali, 34, apabila tiba di Warung Dimyati Roti Canai Pelangi di Sungai Yu, Kuala Selangor, Selangor baru-baru ini.

Dia bersama sembilan rakannya yang berkonvoi motosikal berkuasa tinggi dari Bagan Datuk, Perak pada pagi itu tidak menyangka warung tersebut mendapat sambutan hangat sehingga orang ramai sanggup beratur panjang.

“Hari ini, kami berpeluang cuba kesemua lima perisa roti canai pelangi iaitu durian, strawberi, jagung, keladi dan epal.

“Rasanya memang enak ditambah dengan kelazatan kari kambingnya. Sudah tentu, saya secara peribadi akan berkunjung semula ke warung ini kerana roti canainya yang rangup di luar dan lembut di bahagian dalamnya telah berjaya memikat hati saya,” ujarnya kepada Panorama dengan mimik muka kepuasan selepas menjamah sarapan pagi itu.

Ironinya, warung itu sebenarnya sudah beroperasi sejak lima tahun lalu, namun mula popular apabila menjadi premis yang memperkenalkan roti canai pelangi sejak dua tahun lalu.

Warung itu yang terletak 6.1 kilometer dari pekan Kuala Selangor itu diusahakan pemiliknya yang juga pesara polis, Dimyati Tualo, 59.

Dimyati memberitahu, dia menghasilkan hampir 1,300 doh untuk roti canai pelangi sahaja terutama pada hujung minggu dan cuti sekolah bagi memenuhi permintaan daripada orang ramai yang hadir ke warungnya berbanding hari biasa sekitar 700 doh.

 

ORANG ramai menikmati sajian
di warung itu.

 

Menurutnya, idea membuat roti canai berwarna-warni itu timbul adalah untuk melakukan inovasi terhadap menu roti canai.

Terang Dimyati, proses eksperimen penghasilan roti canai pelangi itu dijalankan selama setahun sebelum menerima maklum balas positif daripada ahli keluarga untuk dijual kepada orang ramai.

“Kemudian saya menerima tempahan daripada penduduk tempatan terutama untuk majlis kenduri kahwin dari Meru, Klang dan Sungai Besar, Sabak Bernam. Mereka seterusnya memaklumkan bahawa warnanya unik namun rasanya seperti roti canai biasa.

“Justeru, saya mula menghasilkan rasa dengan mengambil perisa-perisa buah-buahan yang digemari oleh orang ramai sehingga hasilnya seperti sekarang. Memang diakui ada yang cuba meniru namun tidak menjadi terutama dari segi dohnya,” katanya yang tidak menang tangan menyediakan sajian roti canai.

Kaedah tradisional

Ada lima perisa kesemuanya yang telah dikelaskan mengikut warna roti canai tersebut iaitu oren bagi durian, merah (strawberi), kuning (jagung), biru (keladi), hijau (epal) dan putih (biasa) yang dijual pada harga RM1 sahaja.

Setakat ini, perisa paling mendapat sambutan adalah durian dan strawberi. Pelanggan juga boleh memesan roti canai telur atau roti jantan (roti yang mengandungi dua telur goreng di dalamnya) berasaskan roti pelangi itu pada harga RM2 dengan semangkuk kuah kari kambing pada harga RM3.

 

ROTI canai aneka warna dan perisa ini menjadi keunikan di warung itu.

 

Dimyati berkata, dia juga gemar mempraktikkan kaedah tradisional pembuatan roti canai dengan menguli doh tersebut menggunakan tangan berbanding mesin.

“Perkara paling ditekankan saya adalah doh terutama dari segi bancuhan dan kebersihannya kerana doh amat sensitif dan cepat rosak. Justeru, penghasilannya adalah di bilik khas yang dingin dan tidak panas.

“Kalau orang cuit sedikit pun doh roti itu, saya akan membuangnya kerana ditakuti basah dan mengganggu teksturnya. Saya amat berpegang dengan prinsip bahawa makanan harus dibuat sebaik dan sejujurnya kerana makanan akan memasuki badan kita apabila menjamahnya,” katanya sambil menebar roti canai pelangi di warungnya.

Peluang pekerjaan

Kata anak jati Kuala Selangor itu, bahan-bahan yang digunakan untuk pembuatan roti canai pelangi adalah menggunakan bahan perisa kek.

Dakwa Dimyati, ada beberapa pengusaha restoran asing hendak menghantar pekerjanya menuntut ilmu dan bekerja di warung ini tanpa bayaran, namun ditolak baik olehnya.

“Apa yang saya buat ini adalah untuk generasi kaum Melayu kita. Warung ini juga mampu membuka peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan dengan 10 orang pekerja setakat ini selain ahli keluarga saya,” ujarnya yang tidak mengetepikan prosedur operasi standard sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini.

Perniagaan roti canai pelangi itu turut dianggap rahmat apabila mengeratkan lagi ukhuwah kekeluargaan Dimyati. Perkara itu diakui sendiri menantunya, Mohd. Nazron Wahir, 42, yang telah terlibat sejak setahun lalu bagi membantu operasi warung terutama pada hari Sabtu dan Ahad.

 

DIMYATI menebar roti canai di warungnya yang terletak di Sungai Yu, Kuala Selangor.

 

Dia yang merupakan kakitangan swasta berkata, roti canai pelangi bapa mertuanya mula mendapat perhatian apabila ditularkan pelanggannya.

“Kami membantu secara sukarela dan perasaan paling seronok apabila mendapat pujian daripada pelanggan yang datang dari dalam dan luar daripada daerah ini mengenai tahap perkhidmatan dan kesedapan roti canai pelangi,” katanya.

Mengenai dekorasi bunga matahari itu, Mohd. Nazron mendedahkan bunga itu ditanam bapa mertuanya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu sebagai salah satu tarikan kepada pelanggan.

Tegasnya, ini memberikan nilai tambah kepada warung yang beroperasi di kawasan kampung itu apabila para pelanggan mengabadikan kenangan dengan berswafoto atau bergambar bersama keluarga mereka.

Seorang pelanggan, Helena Masri, 26, menganggap usaha ini sebagai salah satu langkah untuk mempromosikan sesebuah warung secara tidak langsung.

“Ini adalah kali kedua saya sampai di sini dengan kali pertama tidak sempat merasai roti canai pelangi kerana telah habis.

“Saya sekeluarga menggunakan kesempatan bercuti sempena sambutan kemerdekaan ini di Kuala Selangor dengan memasukkan kunjungan ke warung ini ke dalam tentatif kami,” ujarnya yang berasal dari Sungai Buloh.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN