fbpx

47 kes baharu, tiga kluster catat pertambahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Noor Hisham

Oleh SITI A’ISYAH SUKAIMI

PUTRAJAYA – Kes baharu Covid-19 hari ini merekodkan 47 kes menjadikan jumlah keseluruhan kes positif sebanyak 9,915 dengan kes aktif kebolehjangkitan mencecah 591.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah tersebut, 45 kes adalah penularan tempatan manakala dua adalah kes import.

Menurutnya, kes penularan tempatan membabitkan 28 warganegara dan 17 warga asing yang dilaporkan di Sabah dan Kedah termasuk Kluster Benteng LD selain pertambahan kes di Kluster Tawar dan Kluster Sungai.

“Di Sabah, sebanyak 22 kes daripada Kluster Benteng LD dilaporkan membabitkan lapan warga Malaysia dan 14 warga asing.

“Selain itu, terdapat empat kes saringan warga emas di klinik kesihatan yang membabitkan tiga warga Malaysia dan satu warga asing,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.

Noor Hisham berkata, kes penularan tempatan turut membabitkan dua kes saringan di pusat kuarantin serta satu kes saringan petugas kesihatan.

“Dua lagi kes masing-masing membabitkan saringan orang kena tahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kudat dan satu kes Penyakit Seperti Influenza (ILI),” katanya.

Beliau berkata, bagi kes Kluster Tawar pula, terdapat pertambahan 13 kes membabitkan warganegara dalam kluster tersebut.

Katanya, satu lagi pertambahan kes direkodkan di Kluster Sungai yang turut membabitkan warganegara.

Tambah beliau, dua kes import pula adalah dari negara Maldives dan Maghribi.

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata, tujuh kes dilaporkan pulih Covid-19 hari ini, sembilan kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan empat kes memerlukan bantuan pernafasan serta tiada kes kematian baharu dilaporkan. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI