fbpx
AWANG Hashim (kanan) menyampaikan sumbangan Perkeso kepada Mohd. Haqimee Che Lah(tiga kiri) di Kampung Gong Tinggi, Pasir Puteh hari ini.

Perlu caruman Perkeso untuk perlindungan musibah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Oleh TOREK SULONG

PASIR PUTEH – Individu yang bekerja sendiri perlu mendapatkan pelindungan menerusi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) dengan caruman bulanan paling rendah menerusi pendaftaran mudah.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Awang Hashim berkata, skim berkenaan yang boleh didaftarkan menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) merupakan keprihatinan kerajaan kepada pekerja yang tidak mempunyai majikan termasuk mereka yang berpendapatan rendah dan tidak menentu.

Menurutnya, promosi telah dilaksanakan ke peringkat akar umbi yang melibatkan nelayan, petani, peniaga, tukang rumah dan lain-lain agar kebajikan mereka terbela sekiranya ditimpa musibah.

“Sebanyak 20 sektor bekerja sendiri telah dikenalpasti dan Perkeso telah turun padang untuk memberi kefahaman yang lebih jelas kepada mereka.

“Syarat yang paling mudah ditetapkan bagi menggalak penyertaan ramai tanpa perlu slip gaji adalah mereka cuma perlu datang menemui pegawai Perkeso untuk mendaftar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan ganjaran faedah caruman perkeso kepada Mohd. Haqimee Che Lah, 30, di Kampung Gong Tinggi, di sini, hari ini.

Haqimee merupakan suami kepada pencarum perkeso Allahyarham Tuan Isma Farazilahidayah Ismail, 36, yang meninggal dunia dalam satu kemalangan jalanraya di Kilometer 392.2 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT2) Ajil-Bukit Besi pada 2 September lepas.

Hadir sama, Pengarah Perkeso negeri Kelantan, Nora Yaacob.

Mengulas lanjut,menurut Awang, mereka juga boleh mendaftar menerusi persatuan masing-masing iaitu Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), Persatuan Nelayan Kawasan (PNK), Persatuan Peniaga yang boleh memohon mendapatkan khidmat pegawai Perkeso.

“Bagi individu yang tiada persatuan, mereka boleh terus ke kaunter Perkeso untuk mendapatkan perkhidmatan yang berkaitan.

“Di Kelantan, kira-kira 47,000 individu yang bekerja sendiri perlu merebut skim yang ditawarkan kerajaan sebagai perlindungan masa depan mereka dan keluarga,” katanya.

Tambahnya, skim itu juga dibuka tanpa mengira had umur yang disahkan menjalankan pekerjaan sendiri untuk mencari nafkah layak mencarum dengan caruman tahunan sebanyak RM157.20 selain boleh dilunaskan secara bulanan sekiranya tidak berkemampuan.

Katanya, banyak faedah yang bakal diperoleh dengan ganjaran yang dinikmati pencarum sedia ada termasuk pencen penakat seumur hidup kepada waris yang berhak menerimanya. -K! ONLINE

BERITA BERKAITAN