KUALA LUMPUR – Kes saman penghutang penghakiman antara Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Harun dengan sebuah syarikat produksi berpusat di Paris bagi menuntut pembayaran sejumlah wang akan diselesaikan secepat mungkin.
Perkara itu dimaklumkan peguam Hussin Mohd. Razak selepas pengurusan kes saman penghutang penghakiman itu di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Farah Shuhada Ramli hari ini.
Beliau berkata, mahkamah kemudian menetapkan 22 Oktober depan untuk pengurusan kes bagi kedua-dua pihak memaklumkan status perbincangan penyelesaian itu.
“Mahkamah juga memerintahkan anak guam saya (Rina) untuk hadir pada tarikh tersebut berikutan beliau tidak dapat hadir di mahkamah hari ini kerana ada hal kecemasan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Pada masa sama, Hussin berkata, anak guamnya akan berbincang mengenai jumlah yang boleh dipersetujui oleh syarikat itu dan pihaknya telah menyerahkan beberapa keping cek kepada syarikat itu hari ini berhubung perbincangan penyelesaian itu.
Sementara itu, peguam Mark Ho yang mewakili Sarl Novovision berkata Rina telah mencadangkan perjanjian penyelesaian dengan anak guamnya, namun terma penyelesaian itu tidak dapat didedahkan.
“Hari ini pihak berkenaan (menteri) telah menyerahkan cek sebagai pembayaran ansuran,” katanya yang enggan menyatakan jumlahnya.-K! ONLINE














