NEW DELHI – Bintang Bollywood, Rhea Chakraborty ditahan semalam selepas didakwa membekalkan dadah kepada bekas kekasihnya, pelakon Sushant Singh Rajput yang membunuh diri Jun lalu.
Pengarah Biro Kawalan Narkotik (NCB), Mutha Ashok Jain berkata, pihak polis turut menahan beberapa individu lain termasuk adik Chakraborty serta pembantu rumah Rajput.
“Semua individu yang ditahan tidak dibenarkan diikat jamin.
“Manakala Chakraborty ditahan reman sehingga 22 September ini bagi membantu siasatan,” katanya.
Rajput, 34, ditemui mati di kediamannya di Mumbai telah menimbulkan perdebatan dalam kalangan peminat mendakwa dia mengalami masalah kesihatan mental.
Bagaimanapun, keluarga Rajput mendakwa, dia mengalami kemurungan dan menuduh Chakraborty, 28, mencuri wang serta mengganggunya, namun dinafikan pelakon tersebut.
Sementara itu, agensi antijenayah India, Biro Penyiasatan Pusat sedang melakukan siasatan kematian Rajput sejak bulan lalu, manakala NCB menyiasat penglibatan pelakon itu dengan ganja.
Siasatan kes tersebut telah mendapat perhatian pihak media selama berbulan-bulan dengan mengikuti rapat perseteruan antara keluarga Rajput dengan Chakraborty.
Selain itu, beberapa rakan selebriti termasuk pelakon Sonam Kapoor dan pengarah Anurag Kashyap mengecam tindakan stesen televisyen yang cuba memburuk-burukkan imej Chakraborty.
Chakraborty pernah membintangi filem Bank Chor pada tahun 2017 dan Jalebi pada 2018. – AFP














