fbpx
Gambar hiasan

Pilihan sendiri antara introvert, depresi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
NOR ERYANI, Wartawan Eksekutif Kosmo!

 

PERKATAAN introvert barangkali bukan lagi janggal di telinga masyarakat pada masa kini yang sememangnya sudah cukup celik dengan pelbagai isu semasa termasuklah perihal personaliti manusia.

Personaliti introvert ditujukan buat golongan manusia yang gemar meluangkan masa berseorangan, jauh dari hiruk-pikuk orang ramai dan hidup dalam dunianya sendiri.

Akan tetapi personaliti introvert sering disalah erti dengan kemurungan disebabkan kecen­derungan memendam perasaan meskipun sebenarnya kedua-duanya adalah perkara yang berbeza.

Satu perkara perlu difahami, introvert adalah pilihan seseorang untuk melakukan perkara berseorangan, manakala depresi pula ialah penyakit berpunca daripada masalah dalaman peribadi individu.

Namun, tidak dinafikan wujud golongan ini yang hidup de­ngan personaliti diri pendiam dan pada masa sama berdepan depresi akibat sejarah silam yang menghantui.

Perunding Kesihatan Mental Pusat Pakar Psikologi Jiwadamai, Aiman Amri berkata, keadaan boleh jadi bertambah buruk bagi seseorang individu sekiranya dia berdepan dengan masalah depresi dan pada masa sama mempunyai personaliti introvert.

Tiada jalan lain yang boleh dilakukan sekiranya berada di persimpangan antara introvert dan depresi melainkan dengan cara belajar meluahkan kepada orang dipercayai.

“Cabaran untuk manusia yang berdepan dua isu ini pada satu masa sebenarnya berat. Sebab individu ini cenderung berfikir secara berlebihan terhadap sesuatu perkara selain sangat sensitif dengan emosi sendiri.

“Jika ambil pendekatan untuk berkongsi perasaan menerusi media sosial, itu tidak salah. Tetapi sebaiknya carilah jalan lebih berkesan iaitu komunikasi dua hala supaya perasaan yang dipendam dapat disalurkan dengan betul,” ujarnya ketika dihubungi baru-baru ini.

Sebenarnya kajian berkenaan dua perkara ini sudah lama menjadi perbincangan dalam kala­ngan pakar psikologi di seluruh dunia apabila banyak naskhah berkenaannya sudah diterbitkan.

Antaranya kajian ditulis Dr. Alec Roy berjudul Is Introversion a Risk Factor For Suicidal Beha­viour in Depression? (1998) dan Introversion and Extroversion: Implications for Depression and Suicidality (2001) hasil tulisan Dr. David Janowski.

Disebabkan sikap introvert yang sukar berkongsi perasaan secara tidak langsung telah mencipta satu ruang baharu dalam diri tatkala berdepan depresi iaitu kesakitan yang ditanggung secara diam.

Tiada penyakit tanpa ubat. Begitu juga dengan depresi bagi golongan introvert. Cara untuk keluar daripada masalah itu bermula dengan diri sendiri.

Penaung Persatuan Psikiatri Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye dalam satu laporan pada 2018 berkata, kemurungan menjadi penyakit kesihatan mental utama menjelang tahun ini.

Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan pada 2019 juga menunjukkan bahawa 29 peratus rakyat negara ini mengalami depresi dan gangguan kecela­ruan.

“Tidak mendapat sokongan daripada keluarga menjadi pe­ngaruh besar kepada seseorang untuk berdiam diri.

“Lakukan langkah-langkah ini untuk mencegah daripada depresi iaitu senaman, tidur yang berkualiti dan elakkan bermain telefon sebelum masuk tidur,” katanya.

POPULAR