fbpx

Gadis trauma jadi pemuas nafsu bapa tiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Iera menjadi mangsa pemuas nafsu bapa tirinya selama hampir setahun. – Gambar hiasan

SERING kita dengar, ajal dan jodoh semuanya di tangan Tuhan tanpa mampu dikawal manusia. Nasib, takdir dan apa jua yang berlaku dalam hidup seseorang merupakan satu perkara yang tidak dapat kita elakkan.

Begitu juga dengan apa yang berlaku kepada Iera (bukan nama sebenar) di dalam hidupnya beberapa tahun lalu sehingga membuatkan dia hampir putus harapan dan hilang arah.

Lama memendam cerita, Iera terbuka untuk berkongsi bersama Panorama mengenai apa yang terjadi dalam relung hidupnya, sekali gus meragut erti kebahagiaan sebenar.

“Kalau saya ingat balik apa yang berlaku, saya sendiri rasa jijik dan berdosa teramat sangat.

“Mungkin ini sudah nasib dan takdir perjalanan hidup saya. Saya akui, ini berpunca daripada khilaf dan kelalaian saya sendiri,” ujarnya memulakan kata.

Meneruskan perkongsian, Iera merupakan anak tunggal yang kematian bapa kandung sejak kecil memberitahu, dia mengikut ibunya berpindah ke ibu kota selepas berkahwin lain.

Katanya, bapa tirinya jauh lebih muda daripada ibunya.

“Sebelum ibu berkahwin lain, kami memang menyewa di kampung.

“Jadi selepas bernikah, saya ikut ibu berpindah tinggal bersama bapa tiri yang bekerja di ibu kota.

“Ketika itu, saya masih bersekolah dan menuntut di tingkatan empat dan sedikit kekok untuk memulakan hidup baharu di kota,” ujarnya.

Jelas Iera yang kini berusia 30 tahun, segala-galanya mula berubah di rumah baharu.

Akuinya, dia memang tidak pernah mengenali latar belakang bapa tirinya yang mesra disapa sebagai Johan (bukan nama sebenar) meskipun sudah bernikah dengan ibunya.

“Saya jenis introvert dan tidak suka bergaul serta tak ramai kawan. Jadi, saya memang tak pernah ambil tahu latar belakang bapa tiri.

“Pada saya, cukuplah dia nampak baik, membantu kami dua beranak dan menjalankan semua tanggungjawab.

“Cuma saya tahu bapa tiri 10 tahun lebih muda daripada ibu.

“Kehidupannya agak senang dan mempunyai perniagaan sendiri,” katanya lagi.

Jelasnya, selepas berkahwin, ibunya turut bekerja membantu bapa tirinya di pejabat dan mereka berdua jarang ada di rumah.

Kata Iera, ada beberapa kali dia perasan bapa tirinya ada di rumah tanpa ibunya dan tidak lama kemudian keluar semula seperti biasa.

“Saya masih ingat sampai sekarang, ada satu hari ketika saya baru siap mandi dan keluar dari bilik mandi, bapa tiri betul-betul berada di depan pintu tersebut.

“Saya yang ketika itu hanya berkemban betul-betul terkejut dan berlari meluru masuk ke bilik.

“Detik itu jugalah menjadi titik hitam dalam hidup saya ketika saya baru berusia 17 tahun.

“Bapa tiri yang selama ini dianggap baik dan pelindung melakukan perkara tidak sepatutnya kepada saya.

“Dia ikut saya masuk dalam bilik dan menodai saya.

“Dia memaksa dan mengugut saya untuk melayani nafsu serakah binatangnya tanpa pengetahuan ibu.

“Sejak itu, saya ibarat ‘wanita simpanan’ buatnya. Saya jadi lupa dengan diri sendiri dan ikut sahaja apa yang bapa suruh.

“Lebih setahun saya menjadi ‘korban’ dan ‘lauk’ kepada bapa tiri.

“Johan juga mengugut saya supaya jangan sesekali buka mulut jika tidak mahu saya dan ibu dihalau dari rumah,” katanya.

Iera mengakui, dia hilang arah dan masa depannya gelap.

Cuma Iera bersyukur, dia tidak hamil anak luar nikah atas perbuatan bapa tirinya itu.

Selepas tamat sekolah, dia terus keluar dari rumah dan pergi ‘meninggalkan’ keluarga kecilnya itu untuk membawa hati serta cuba menghilangkan trauma.

Biarpun, insiden hitam itu sudah 13 tahun berlalu, namun sehingga kini, lukanya masih ‘berdarah’ dan tetap meninggalkan bekas mendalam sehingga takut dengan insan bernama lelaki.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI