Benarkah terdapat hadis yang menyatakan wanita mempunyai sembilan nafsu dan satu akal?
Jawapan: Sering sekali kita mendengar masyarakat kita kata wanita itu mempunyai sembilan nafsu dan satu akal. Apakah kenyataan ini benar?
Terdapat riwayat daripada Abi Muslim al, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Syahwat itu mempunyai 10 bahagian, sembilan bahagian diberi kepada wanita, dan satu bahagian diberi kepada lelaki. (Dicatat oleh Abu Marwan Abdul Malik al-Salmi dalam Adab al-Nisaa’, 1/183)
Diriwayatkan juga bahawa Baginda SAW bersabda: “Dijadikan syahwat itu sebanyak 10 bahagian, sembilan darinya untuk wanita, satu untuk lelaki. (Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Awsat (567), dan disebut juga oleh al-Haithami dalam Majma’ al-Zawa’id, 10/30)
Hadis ini bertaraf daif jiddan (tersangat lemah) kerana salah seorang perawinya iaitu Suwaid ibn Abd al-Aziz berstatus matruk (periwayatannya ditinggalkan dan tidak diriwayatkan) dan bukan dalam kalangan tsiqah. (Rujuk Irsyad al-Sari fi Takhrij Ahadith Fath al-Bari 1/665)
Bahkan, riwayat ini turut ditemui dalam kitab-kitab Syiah, dan ia diriwayatkan oleh Al-Kulaini dan Al-Majlisi. (Rujuk Usul al-Kafi, 5/338 dan Bihar al-Anwar, 100/244)
Terdapat juga satu riwayat tentang dialog yang berlaku antara Imam al-Hasan al-Basri dengan seorang tokoh sufi amat terkenal, Rabiatul Adawiyah.
Dikisahkan bahawa semasa al-Hasan pergi meminangnya setelah kematian suaminya, beliau telah disoal beberapa perkara oleh Rabiah dan tidak dapat menjawabnya. Tetapi apabila ditanya tentang akal, dikatakan bahawa al-Hasan telah menjawab bahawa wanita mempunyai sembilan nafsu dan satu akal. Tapi lantas Rabiah menjawab kembali: “Jika aku mempunyai sembilan nafsu, mengapa aku mampu menahannya dengan satu akal, sedangkan kamu yang mahu meminang aku ini tidak mampu menahan nafsu kamu sedangkan kamu mempunyai sembilan akal dan satu nafsu?” Maka al-Hasan pun malu apabila mendengar jawapan itu dan terus pulang.
Kisah ini telah dinukilkan oleh Uthman al-Khaubawi dalam kitabnya Durrah an-Nasihin dan juga Abu al-Fidaa’ al-Istanbuli al-Hanafi (Rujuk Tafsir Ruh al-Bayan, 6/179).
Cerita ini boleh dipertikaikan dari sudut penisbahannya kepada al-Hasan al-Basri.
Hal ini kerana, al-Hasan al-Basri dilahirkan pada tahun 21H dan meninggal dunia pada 110H. Manakala Rabiatul Adawiyah pula berdasarkan pandangan yang paling tepat- dilahirkan pada tahun 100H dan meninggal dunia pada 180H. Ini bermakna ketika al-Hasan meninggal dunia, Rabiatul Adawiyah baru berumur 10 tahun, maka adalah tidak munasabah berlakunya dialog sebegini antara mereka.
Memandangkan kata-kata ini tidak mempunyai sandaran yang sahih dalam al-Quran mahupun sunah, bukan juga kata-kata ulama mu’tabar, dan bukan juga satu fakta disahihkan dari sudut saintifik, bahkan kisah dinukilkan di atas juga dipertikaikan kesahihannya, maka kami berpandangan ia tidak wajar sama sekali diterima, disebarkan dan disandarkan kepada agama.
Meskipun begitu, terdapat juga satu hadis yang sabit daripada Nabi SAW bahawa Baginda pernah bersabda: “Wahai sekalian wanita, banyakkanlah bersedekah dan istighfar kerana aku melihat wanita banyak yang menjadi penghuni neraka.
Seorang wanita yang bijak berkata: “Mengapa demikian wahai Rasulullah?” Nabi SAW menjawab: “Kerana kalian banyak berkata yang buruk dan tidak berterima kasih kepada suami kalian. Aku juga melihat kalian kurang dari sudut agama, tapi pada sama aku belum pernah melihat orang yang kurang akal dan agamanya mampu mengalahkan laki-laki berakal dibandingkan kalian.
Wanita itu bertanya lagi: “Apa maksud kurang sudut akal dan agama itu?”
Nabi menjawab: “Kurang dari sudut akal boleh dilihat dari sudut kesaksian dua orang wanita sama dengan kesaksian seorang lelaki, manakala kurang dari sudut agama adalah ada hari-hari tertentu kalian tidak solat dan berpuasa.”
Secara tuntasnya, kami berpandangan bahawa pernyataan wanita mempunyai hanya satu akal dan sembilan nafsu adalah kata-kata yang tidak ada sumbernya dalam agama dan tidak wajar disebarkan.
Adapun hadis yang menyatakan bahawa wanita itu kurang dari sudut agama, kekurangan mereka hanya terbatas dari sudut kuantiti ibadah dan bukan kualiti, serta sedikit keterbatasan dari sudut tempoh masa untuk melakukan ibadat.
Manakala kekurangan dari sudut akal pula adalah dalam erti kata penglibatan mereka dalam urusan-urusan awam secara umumnya adalah agak terbatas berbanding lelaki.
Maka pengetahuan dan pengalaman mereka dalam bidang-bidang tertentu seperti politik, ekonomi dan ketenteraan adalah kurang berbanding lelaki.
















