fbpx

Jenazah pegawai APMM, anak selamat dikebumi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Majlis pengebumian Leftenan Maritim Md. Firdaus Omar dan anak sulungnya di Kota Tinggi, Johor dihadiri pegawai Maritim Malaysia dan kaum keluarga.

Oleh KHAIRUL MOHD. ALI

JOHOR BAHRU – Jenazah pegawai Maritim Malaysia (APMM) dan anak lelakinya yang maut dalam kemalangan jalan raya di Gong Badak, Kuala Nerus, Terengganu Rabu lalu selamat dikebumikan di kampung isterinya, di Kota Tinggi dekat sini pukul 12.30 tengah malam tadi.

APMM dalam satu kenyataan memberitahu, jenazah Leftenan Maritim Md. Firdaus Omar, 35, dan anak sulungnya, Muhammad Lutfil Al-Hadi, 8, disemadikan dalam satu kubur di Tanah Perkuburan Islam Felda Sening, Kota Tinggi.

Bagi memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham, satu istiadat pengebumian dan kawalan jenazah telah dilakukan.

Istiadat itu diketuai Leftenan Komander Maritim, Mohd. Ardi Mat Nawi beserta 15 pegawai penguat kuasa dan 17 pegawai lain-lain pangkat daripada Maritim Malaysia Johor.

Turut mengiringi jenazah merupakan sahabat Allahyarham daripada Ibu Pejabat Maritim Putrajaya, Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (Amsas) serta dari Maritim Malaysia negeri antaranya Johor, Terengganu, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka.

Dalam istiadat berkenaan, Pengarah Maritim Malaysia Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria menyerahkan panji Maritim Malaysia kepada abang Allahyarham, Junaidi Omar sebagai penghormatan terakhir buat Md. Firdaus atas bakti dan sumbangan diberikan kepada negara.

Allahyarham yang bertugas di Maritim Malaysia Terengganu meninggalkan seorang balu, Siti Hawa Mohd. Sebari, 30, dan dua lagi anak iaitu Nur Athiyaah Rafhanali, 6, dan Nur Alfiyyah Rasyadah, 2.

Terdahulu, Allahyarham dilaporkan terlibat dalam kemalangan semasa membawa anak sulungnya menaiki motosikal menuju ke kelas mengaji.

Motosikal ditunggang mangsa dirempuh sebuah kereta semasa keluar dari simpang di Taman Perumahan Mega, Kuala Nerus.- K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI