fbpx
FAIZAL TAHIR

Bekalan syurga Faizal Tahir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KREDIBILITI komposer dan penyanyi, Faizal Tahir dalam menghasilkan lagu tidak perlu disangkal lagi.

Figura yang sudah 15 tahun berada dalam arena muzik tempatan itu bahkan menjadi antara idola bagi kebanyakan karyawan generasi baharu, baik dalam bidang penciptaan lagu mahu pun nyanyian.

Ketaranya, pemilik nama sebenar Ahmad Faizal Mohd. Tahir, 42, dilihat memiliki kelebihan apabila setiap nukilannya sarat mesej harmoni bukan saja untuk diri sendiri, bahkan buat pendengar dan khalayak umum.

BIARPUN mempunyai lebih 15 tahun pengalaman dalam industri muzik, Faizal mengakui selesa bekerja dalam sebuah pasukan demi penghasilan sebuah karya terbaik dan unik.

Faizal nyata ada kuasa pemikat dalam setiap karyanya tanpa mengira genre lagu yang ditampilkan, sekali gus mencipta fenomena tersendiri.

Terbaharu, lelaki yang pernah muncul dengan buah tangan penuh kisah rumah tangga, Ragaman muncul menerusi single Nobody terbitan Faithful Music dengan kerjasama Universal Music Malaysia selaku pengedar.

Menurut Faizal, ada perkara penting yang ingin disampaikan dalam Nobody, dia mahu menerapkan mesej buat diri sendiri dan sesiapa sahaja.

“Apa cuba nak disampaikan dalam lagu ini sebenarnya untuk diri saya sendiri terlebih dahulu, yang mana saya ini nobody tanpa somebody yang saya boleh beri dan curahkan kasih sayang.

“Selain itu, saya mendedikasikan rasa cinta dalam diri kepada-Nya, menjaga dengan baik dengan jujur dan ikhlas berkarya kerana Allah.

“Sebab apabila buat begitu, barulah dapat hadiah teragung iaitu bersama-Nya di syurga nanti,” ungkap Faizal.

Dia juga melihat keunikan Nobody menerusi mesej yang ingin disampaikan.

Kata Faizal, muzik tetap muzik. Setiap karyawan mampu memberikan pelbagai jenis muzik yang sedap didengar, tetapi apa yang penting mesej yang ingin disampaikan.

“Bagi saya, lagu ini membawa mesej berlainan berbanding apa yang pernah saya sampaikan sebelum ini,” katanya.

FAIZAL berharap lagu Nobody mampu meninggalkan kebaikan untuk diri sendiri dan khalayak secara keseluruhannya.

Seperti kebanyakan karya lain juga, Nobody sekali lagi menyaksikan kerjasama Faizal bersama beberapa komposer iaitu Firdaus Rahmat, Mas Dewangga, Mage dan Mike Chan.

Menurut Faizal, dia selesa bekerja dalam pasukan kerana dapat berkongsi banyak idea, sekali gus dapat melahirkan sebuah karya terbaik dan unik.

“Nobody merupakan sebuah modern power ballad. Sebab sekarang pun muzik sudah lain. Komposer yang bersama saya dalam penghasilan lagu ini juga mereka yang sedang meningkat naik dan banyak lagu mereka sudah keluar dalam radio. Kalau nak tahu, ini memang cara saya bekerja. Kami buat dan terbitkan bersama-sama.

“Saya rasa tidak ada masalah bekerja dengan banyak kepala. Sebab sudah biasa. Macam ketika mula menjadi komposer, sudah biasa kerja sendiri, seterusnya berdua dan bertiga.

“Tetapi, saya sedar apabila bekerja dalam kumpulan atau pasukan kita jadi lagi kuat, idea banyak dan berbeza terutama bekerja dengan orang mempunyai pengalaman lain. Macam saya yang sudah tua, jadi dapat berkongsi idea baharu dengan anak muda.

“Jadi, kami sama-sama membantu mencari yang terbaik. Disebabkan itu saya suka bekerjasama. Bagi saya setiap orang diberikan kelebihan dan idea berbeza, apa yang penting semua sangat terbuka, bertolak ansur dan boleh terima idea masing-masing. “Malah, boleh terima apa saja perubahan yang kita buat apabila bekerjasama. Jadi, sebenarnya bekerja dalam kumpulan lebih senang,” katanya panjang lebar.

Bercakap mengenai harapan terhadap buah tangan terbaharnya, Faizal berharap mesej dalam lagu itu dapat memberi manfaat bukan saja buat dirinya tetapi juga semua orang.

“Harapan saya setiap kali keluar lagu, mestilah saya mengharapkan mesej yang disampaikan diterima dan dihadam dengan baik. Paling penting dapat memberi manfaat kepada orang yang mendengar dan memahaminya.

“Semoga jadi menjadi insan lebih baik, begitu juga dengan orang lain yang mendengarnya,” getus Faizal ringkas.

FAIZAL kini dalam proses pembikinan video muzik lagu Nobody yang disifatkan sebuah penghasilan yang paling unik dan jauh berbeza berbanding karya terdahulu.

Berkongsi mengenai video muzik, Faizal berkata, projek tersebut masih dalam perbincangan.

“Apa boleh saya katakan, muzik video ini paling unik dan mencabar untuk saya dan pasukan terbitkan. Sangat berlainan. Jadi, saya sangat teruja dan tak sabar untuk lihat hasilnya,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kenny Ong berkata, kerjasama selaku pengedar lagu Nobody menjadi sesuatu yang bermakna buat mereka.

“Universal Music Malaysia dan Faizal sudah cukup sinonim. Sudah banyak kerjasama yang terjalin antara kedua pihak sebelum ini. Apabila kami diberi tanggungjawab mengedarkan lagu terbaharu Faizal, kerjasama ini sesuatu yang cukup bagus.

“Kepercayaan yang diberikan menjadikan hubungan kami lebih utuh. Selaku pengedar, kami yakin dan percaya dengan kerja Faizal dan pasukannya.

“Universal Music juga sudah tidak sabar untuk melihat maklum balas balas daripada peminat muzik tempatan. Saya berharap lagu ini akan pergi jauh seperti kebanyakan karya lain juga,” tutur Kenny Ong.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN