fbpx

Penduduk Bukit Rimau mula simpan bekalan air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gopal Riddy mengisi air ke dalam baldi dan botol sebagai persediaan menghadapi gangguan bekalan air di kawasan Bukit Rimau, Seksyen 32, Shah Alam.

Oleh ISKANDAR SHAH MOHAMED

SHAH ALAM – Para penduduk di sekitar Bukit Rimau, Seksyen 32 yang merupakan antara kawasan terjejas akibat gangguan bekalan air mula menyimpan stok bekalan air bermula hari ini.

Tinjauan Kosmo mendapati sebahagian penduduk di beberapa pangsapuri di kawasan itu telah menggunakan tong dan baldi bagi menyimpan air di kediaman masing-masing.

Seorang penduduk Pangsapuri Kenangan di sini yang ditemui, Muhammad Haziq Othman, 31, memberitahu mengetahui berhubung gangguan bekalan air itu menerusi radio dan media sosial petang semalam.

“Selepas pulang bekerja, saya segera mengisi air ke dalam beberapa baldi yang diharap mencukupi untuk beberapa hari sekiranya bekalan terjejas.

“Bekalan air setakat ini masih ada dan saya difahamkan gangguan akan berlaku mulai esok,” katanya.

Bagi penduduk Pangsapuri Idaman, Gopal Riddy, 50, pula, kawasan perumahan itu kebiasaannya tidak mengalami gangguan bekalan kritikal kerana mempunyai tangki simpanan bersaiz besar.

“Namun, segala kemungkinan boleh berlaku dan simpanan air perlu disimpan lebih banyak berbanding biasa.

“Saya berharap gangguan itu tidak berlarutan lama dan bekalan air yang disimpan mencukupi untuk kegunaan seharian,” jelasnya.

Terdahulu, Air Selangor Sdn. Bhd. dalam kenyataan memaklumkan sebanyak 1,292 kawasan di sekitar Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat bakal mengalami gangguan bekalan air.

Ini berikutan henti tugas empat Loji Rawatan Air (LRA) susulan berlaku pencemaran yang dikesan di dalam sumber air mentah di Sungai Selangor.

LUAS pula memaklumkan pencemaran bau itu disyaki berpunca daripada pelepasan pelarut di kawasan industri di Sungai Gong di sini. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI