fbpx

Lambaian terakhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SUZANA dan Mohammad Fadzil menunjukkan gambar Nur Aira Awatif ketika ditemui di Dungun semalam.

Oleh NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN

DUNGUN – Seorang budak pe­rempuan asyik bercakap mengenai syurga dan berleter kepada abangnya supaya menjaga solat seolah-olah tahu ajalnya bakal tiba apabila dia maut dirempuh kenderaan pacuan empat roda (4X4) jenis Mitsubishi Storm kelmarin.

Lebih menyedihkan, Nur Aira Awatif Mohammad Fadzil, 6, berubah menjadi sangat manja apabila sering meminta ibunya, Suzana Ibrahim, 41, menyuapnya makan sejak beberapa hari lalu dan sempat melambai kepada bapanya, Mohammad Fadzil Yusoff, 43, sebelum kejadian itu.

Anak ketiga daripada empat beradik itu menemui ajal apabila ken­deraan 4X4 dipandu peniaga durian tersebut merempuh basikal dinaikinya yang dikatakan keluar secara tiba-tiba dari halaman rumah pada pukul 2.50 petang di Kampung Cacar Baru, Paka, dekat sini.

Mengimbau semula kejadian itu, Suzana berkata, arwah yang lebih mesra disapa Aira sering bercakap mahu memasuki syurga sejak akhir-akhir ini.

 

Nur Aira Awatif

Selain itu katanya, Aira juga menunjukkan perubahan sikap manja dengan sering meminta­nya menyuapkan makanan sejak beberapa hari lalu.

“Walaupun masih kecil, dia sering berleter mengingatkan abangnya, Mohd. Lutfi Iqbal, 11, tentang solat dan syurga sejak sebulan lalu.

“Apa yang membuatkan kami betul-betul terkilan ialah arwah sempat melambai kepada abah­nya yang mahu pergi bekerja selepas makan tengah hari di rumah. Selalunya dia tidak begitu tapi mungkin itu petanda pemergiannya yang tidak kami sedari,” ceritanya ketika ditemui.

Tambahnya, sebelum kejadian, dia sedang memerhatikan murid prasekolah Sekolah Kebangsaan Seri Paka dekat sini itu sedang bermain basikal dengan dua saudara sebayanya di halaman rumah.

Menurut Suzana, dia kemudian masuk ke dalam rumah untuk menidurkan anak bongsunya sebelum dimaklumkan mengenai kejadian yang menimpa Aira.

“Saya meluru lari mendapatkan Aira yang sudah berlumuran darah pada bahagian kepala sebelum bergegas ke klinik berhampiran.

“Sepanjang perjalanan sambil meriba Aira, saya berdoa agar dia selamat tetapi hati saya hancur apabila dimaklumkan sebalik­nya sebaik tiba di klinik,” katanya sambil menahan sedih.

Sementara itu, Mohammad Fadzil kesal dengan segelintir ne­tizen yang menuduh keluar­ganya cuai sehingga menyebabkan insiden yang meragut nyawa Aira.

“Rumah kami bukan terletak di depan jalan besar. Kadang-kadang sahaja laluan itu dilalui kenderaan sebagai jalan pintas.

“Semua jiran saya ialah saudara saya dan ada beberapa orang dewasa yang memantau ketika kanak-kanak termasuk anak saya bermain basikal ketika kejadian,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, sewaktu kejadian, pemandu 4X4 berusia 59 tahun itu dalam perjalanan ke sebuah surau untuk menunaikan solat Zuhur.

“Lelaki berasal dari Kampung Bintang, Setiu itu berniaga durian tidak jauh dari rumah mangsa.

“Mengikut keterangannya, dia gagal mengelak lalu merempuh basikal mangsa yang dikatakan meluru secara tiba-tiba,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Jenazah Aira selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Paka kelmarin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI