fbpx

“Siasat projek rundingan terus bawah BN, PN” – Guan Eng

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Guan Eng pada sidang akhbar di Bangunan Parlimen hari ini.

KUALA LUMPUR- Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat juga projek rundingan terus yang diluluskan di bawah Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, ia bagi mengelakkan masalah dua darjat yang mana siasatan SPRM hanya dijalankan terhadap projek-projek di bawah PH.

“Kegagalan SPRM membuat kajian ke atas projek rundingan terus kerajaan BN dan PN boleh menimbulkan persepsi negatif antara dua darjat atau ‘double standard'”

“Semoga SPRM boleh membuktikan bahawa mereka tidak menjadi senjata politik mana-mana pihak dengan menjalankan kajian menyeluruh terhadap PN dan BN, sama ada wujud unsur-unsur rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa berhubung perkara ini,” katanya pada satu sidang akhbar di Bangunan Parlimen di sini hari ini.

Ditanya sama ada beliau mempunyai senarai 101 projek tersebut, Guan Eng berkata, dia bukan lagi menteri dan tidak mempunyai akses terhadap senarai projek berkenaan.

Justeru, pihaknya berharap agar Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mendedahkan senarai 101 projek rundingan terus tersebut, selain projek rundingan terus di bawah BN dan PN.

Katanya, peratusan projek runding terus sebanyak RM6.6 bilion ini hanya 1.4 peratus daripada nilai keseluruhan perolehan di bawah PH.

“Pengecualian daripada menggunakan kaedah tender terbuka dibenarkan oleh Kementerian Kewangan berpandukan garis panduan kerajaan yang dilampirkan.

“Pengecualian daripada tatacara merangkumi antaranya, perolehan masas krisis atau bencana alam, perolehan kerajaan berkepentingan nasional melibatkan keselamatan negara serta kepakaran khusus,” jelasnya.

Terdahulu, Timbalan Menteri Kewangan Abdul Rahim Bakri dalam sesi Dewan Rakyat tidak menjawab soalan tambahan Saifuddin Nasution (PH-Kulim Bandar Bharu) yang mahu Kementerian Kewangan mendedahkan kesemua senarai 101 syarikat yang mendapat kontrak secara runding terus.

Abdul Rahim berkata, runding terus memang dibenarkan dalam kaedah perolehan, namun menjadi isu kerana PH menyatakan tidak ada runding terus dalam manifesto mereka. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI