fbpx

Ganjaran RM5,000 bagi tangkap pelaku

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar dua ekor monyet dan biawak yang dipanah oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dipercayai berlaku di Bukit Kiara Sabtu lalu.

KUALA LUMPUR – Persatuan Haiwan Malaysia (Animal Malaysia) menawarkan wang tunai RM5,000 kepada individu yang menyalurkan maklumat ­berhubung kejadian kekejaman terhadap dua ekor monyet dan seekor biawak di Taman Rimba Kiara dekat Taman Tun Dr. ­Ismail di sini Sabtu lalu.

Presiden Animal Malaysia, Arie Dwi Andika berkata, pihak­nya menerima maklumat ­mengenai insiden itu melalui ­laman sosial selepas gambar dan video haiwan berkenaan yang cedera dipanah menjadi tular.

“Difahamkan seekor monyet dan seekor biawak telah mati ­akibat kejadian itu, manakala seekor lagi monyet dilaporkan cedera selepas dipanah oleh ­individu tidak bertanggungjawab.

“Berdasarkan video yang diterima, kami yakin ada individu lain bersama pemanah ber­kenaan yang merakam kejadian tersebut sebelum ditularkan di media sosial,” katanya.

Ujarnya, pihak Animal Malaysia menawarkan wang tunai RM5,000, sijil penghargaan dan cenderamata kepada individu yang menyalurkan maklumat lengkap mengenai pelaku tersebut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Zairulnizam Mohd. Zainuddin dalam kenyataan berkata, pihaknya telah menerima satu laporan polis mengenai video tersebut.

“Pengadu yang merupakan salah seorang kakitangan Jabatan Landskap Negara memberitahu, ada menerima tangkap layar dan video daripada aplikasi WhatsApp yang memaparkan seekor monyet dipanah di bahagian pangkal ekor.

“Pengadu tersebut mengesyaki kejadian itu berlaku di Zon Arboretum Taman Persekutuan Bukit Kiara. Pengadu juga memberitahu terdapat satu gambar lain yang memaparkan seekor biawak dianiaya dengan cara yang sama,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) yang mana jika disabitkan kesalahan akan membawa hukuman penjara tidak lebih dari tiga tahun atau denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM100,000 atau kedua-dua­nya sekali.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI