fbpx

Lelaki ‘tertua dunia’ meninggal dunia pada usia 116 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BLOM dianggap sebagai antara rakyat paling tua di Afrika Selatan menyambut ulang tahun kelahiran ke-116 di rumahnya di Delft, dekat Cape Town pada 8 Mei lalu. – RODGER BOSCH / AFP

JOHANNESBURG – Seorang lelaki dipercayai tertua di dunia yang terselamat semasa penularan wabak influenza Spanish Flu pada tahun 1918 dilaporkan meninggal dunia kelmarin, menurut keluarganya.

Fredie Blom yang didakwa berumur 116 tahun, lahir pada 8 Mei 1904, pernah ditemu bual oleh agensi berita AFP awal tahun ini dan memberitahu, dia mampu hidup lama kerana ketentuan Tuhan.

Buku rekod dunia, Guinness World Records mengiktiraf lelaki tertua dunia yang masih hidup sebagai Briton Bob Weighton, berumur 112 dan menetap di Afrika Selatan.

Beberapa media Afrika Selatan melaporkan, Blom ialah manusia tertua di dunia yang ‘belum diiktiraf secara rasmi’.

Semua anggota keluarga Blom disahkan maut akibat jangkitan wabak pandemik Spanish Flu semasa dia masih seorang remaja.

Mendiang Blom pernah mendirikan rumah tangga selama 46 tahun dengan Jeanette, pasangan itu mempunyai tiga anak. Blom juga seorang datuk kepada lima cucu.

“Dua minggu lalu oupa (datuk) masih membelah kayu menggunakan sejenis tukul. Dia seorang lelaki kuat dan penuh dengan rasa bangga,” kata jurucakap keluarga, Andre Naidoo kepada AFP.

Bagaimanapun, tiga hari kemudian, keluarganya mendakwa kesihatan Blom mula menyusut ‘daripada seorang lelaki berbadan besar kepada badan kecil’.

Mendiang lahir di sebuah perkampungan di Adelaide, Pergunungan Great Winterberg dekat wilayah Cape Timur.

Dia disahkan meninggal dunia di Hospital Tygerberg, Cape Town.

Naidoo berkata, Blom meninggal dunia akibat sakit tua dan tidak berkait dengan jangkitan Covid-19. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI