fbpx

Kemudi bengkel motosikal dengan satu tangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ARIF IZUDDIN tidak pernah menjadikan kekurangan dirinya sebagai penghalang untuk berjaya dalam bidang yang diminatinya.

KETIKA penulis tiba di bengkel Kayy motorsports yang terletak di Taman Mas, Puchong, Selangor, Mohd. Arif Izuddin Azmi, 21, dilihat sedang tekun membaiki salah sebuah motosikal yang tersusun di dalam bengkel tersebut.

Sungguh menyentuh hati, biarpun dalam keadaan serba kekurangan dan hanya menggunakan satu tangan iaitu tangan kirinya, namun dia langsung tidak kelihatan kekok.

Sebaliknya, pemuda lepasan GiatMara Batu, Kuala Lumpur itu tetap lincah bergerak dan mampu melakukan kerja-kerja membaiki motosikal seperti manusia normal yang lain.

Kagum dengan semangat yang ada dalam dirinya, kami kemudian mendekati anak sulung daripada tiga beradik ini bagi ‘mencuri’ semangat yang ada dalam dirinya supaya boleh dikongsikan kepada anak-anak muda di luar sana.

“Beginilah kehidupan saya setiap hari selepas berjaya menamatkan pelajaran di GiatMara Batu, Kuala Lumpur sekitar penghujung tahun lalu.

“Ketika menuntut di sana, saya mengambil kursus teknologi motosikal selama enam bulan sebelum menyambung pula dengan kursus teknologi motosikal kuasa tinggi untuk tempoh enam bulan lagi.

“Dengan kemahiran yang ada ini, sekurang-kurangnya membolehkan saya mencari rezeki membantu keluarga di samping mengaplikasikan kemahiran yang dipelajari sewaktu belajar dahulu untuk manfaat orang ramai,” jelasnya.

Berjaya bangkit

Tatkala diberitahu bengkel yang berkeluasan kira-kira 120 meter persegi itu merupakan perniagaan yang diusahakan oleh Arif Izuddin sendiri, hati kami semakin tersentuh.

Mana tidaknya, pada usia yang sangat muda dan di sebalik kekurangan yang ada pada dirinya, dia berjaya bangkit untuk memajukan diri.

“Saya dilahirkan normal seperti remaja lain. Kekurangan diri ini berlaku disebabkan kemalangan jalan raya sewaktu berusia 17 tahun.

“Pada waktu itu, saya baru pulang daripada bertemu rakan-rakan. Entah bagaimana sewaktu melalui satu kawasan, mata saya seakan tertutup dan tidak nampak jalan sehingga menyebabkan motor ditunggangnya merempuh lampu isyarat.

“Kesan kemalangan tersebut menyebabkan saya kehilangan tangan kanan,” jelasnya.

PEMUDA 21 tahun ini tidak kekok membaiki motosikal pelanggan hanya menggunakan satu tangannya di bengkelnya di Puchong, Selangor.

Menurutnya lagi, biarpun mengakui terkejut dengan kejadian yang menimpanya, namun Arif Izuddin reda dengan ketentuan Ilahi dan bangkit membiasakan diri dengan fizikalnya yang baharu.

Disebabkan itu juga, tidak sampai dua minggu kejadian tersebut berlaku, Arif Izuddin sudah mula membiasakan diri dengan menjalani rutin harian menggunakan satu tangan, selain mula membaiki motosikal yang dihantar pelanggan ke rumahnya.

“Memang pada mulanya tertekan, tetapi saya fikir satu sahaja. Sampai bila mahu berkurung di rumah.

“Siapa pula yang mahu memberikan saya makan nanti,” ujarnya.

Melihat dirinya yang bersemangat waja dan mengambil upah membaiki motosikal di depan rumah biarpun masih belum menamatkan kursus dan hanya menggunakan sebelah tangan, GiatMara tampil menghulurkan bantuan dengan memasukkan Arif Izuddin ke Program Rintis Niaga.

Menerusi program itu, Arif Izuddin mendapat bantuan peralatan bernilai kira-kira RM12,000 untuk melebarkan perniagaan.

Berkat bantuan tersebut, siapa sangka, bermula daripada menerima dan membaiki motosikal di rumah tiga tahun lalu, dia mampu membuka bengkelnya sendiri awal tahun lalu.

Sehingga ke hari ini, Arif Izuddin membaiki lebih 50 buah motosikal. Antaranya motosikal yang berkuasa 150cc.

“Susah untuk sesuaikan diri pada awalnya. Ada masanya, saya tertekan dan hilang kawalan kerana pergerakan yang terhad.

“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana banyak mendapat sokongan daripada keluarga terutamanya ibu dan ayah. Ayah banyak mengajar saya membaiki motosikal memandangkan secara kebetulan kami mempunyai kemahiran yang sama,” kata pemuda berjiwa besar itu.

Menurut Arif Izuddin lagi, biarpun bengkel tersebut baru sahaja dibuka dan mahu memajukan lagi perusahaannya, namun dia turut memasang impian untuk membuka cawangan jika ada rezeki suatu hari nanti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN