fbpx

Kek coklat terakhir sebelum ajal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR kenangan Syed Khairul Anuar bersama isterinya sebelum meninggal dunia dalam kemalangan ngeri kelmarin.

 

Oleh FARAHWAHIDA AHMAD

SEGAMAT – Sepasang suami isteri ditemui rentung selepas kereta Proton Saga yang mereka naiki terbakar dalam kemalangan melibatkan lima buah kenderaan di Jalan Genuang-Tenang berhampiran Kampung Melayu Raya di sini malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam itu, mangsa, Syed Khai­rul Anuar Syed Sabtu, 41, dan isterinya, Nor Aini Mohd. Zeke, 19, meninggal dunia di dalam kereta selepas mereka gagal keluar menyelamatkan diri.

Kemalangan itu turut meragut nyawa seorang lagi mangsa, Lim Poo Yong, 30, yang memandu kereta Honda Accord.

Bagaimanapun, setakat ini punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan.

Abang Nor Aini, Muhamed Rizal, 29, berkata, adiknya dan Syed Khairul telah pulang ke Felda Medoi di sini kelmarin untuk melawat keluarga.

“Adik saya sempat hantar kek coklat sebagai buah tangan untuk keluarga ketika balik ke kampung.

“Malam itu juga mereka pulang ke rumah mereka di Felda Radong, saya pun tak sempat jumpa mereka,” katanya di Unit Forensik, Hospital Segamat di sini semalam.

 

KEADAAN Proton Saga dinaiki sepasang suami isteri yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Genuang-Tenang berhampiran Kampung Melayu Raya, Segamat malam kelmarin.

 

Jarak antara Felda Medoi dan Felda Radong adalah sekitar 45 kilometer.

Nor Aini yang merupakan anak bongsu daripada enam beradik itu mendirikan rumah tangga pada Mac tahun lalu.

Muhamed Rizal berkata, dia terkejut apabila menerima panggilan daripada pihak polis kira-kira pukul 3 pagi semalam memaklumkan kejadian itu.

Sementara itu, bapa kepada Poo Yong, Lim Kwong Jong, 61, berkata, anak ketiga daripada empat beradik itu keluar dari rumah pada pukul 5 petang menuju Labis untuk bertemu rakannya atas urusan kerja.

“Dia sempat meminta keluarga menyimpan lauk ayam untuk dimakannya selepas pulang dari bandar Labis, namun hajatnya tidak kesampaian.

“Pada mulanya kami sekeluarga tidak percaya dia antara yang ren­tung dalam kemalangan itu walaupun berita mengenainya telah tular dalam WhatsApp rakan-rakan di Segamat,” katanya di rumahnya di Jalan Pee Kang Hai.

 

POO YONG

 

Kwong Jong berkata, dia hanya mengetahuinya selepas anggota polis datang ke kediamannya meminta pengesahan kejadian kira-kira pukul 11 malam kelmarin.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Segamat, Pegawai Bomba Kanan II Fuad Mohamad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.47 malam sebelum tiga jentera bersama 15 anggota BBP Segamat dan Labis dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Dua mangsa didapati rentung dalam kereta Proton Saga, manakala satu mangsa lagi maut dalam kereta Honda Accord.

“Sembilan mangsa yang menaiki tiga lagi kenderaan melibatkan Proton Saga, Perodua Alza dan Proton Wira terselamat dalam kemalangan itu,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI