fbpx

Fizlee berjaya komersialkan menu goreng pisang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Masalah pendengaran pada telinga kiri bukan faktor penghalang bagi seorang wanita untuk terus bangkit berjuang demi kelangsungan hidup diri dan keluarganya.

Pengasas syarikat, Nur Maryam Global Sdn. Bhd., Fizlee Hafiz berkata, kekurangan pada dirinya tidak membantutkan idea untuk merancang perniagaan secara kecil-kecilan dengan berniaga menjual goreng pisang.

Bermodalkan hanya dengan RM30, pemegang Ijazah Psikologi UCSI University itu menggunakan perkarangan di hadapan rumahnya untuk menjual goreng pisang keju dan coklat pada tahun 2013 bertujuan untuk menambah pendapatan bulanan.

“Biarpun hanya memperoleh keuntungan kecil, saya gembira kerana usaha yang terbantut kerana masalah kesihatan telah dapat dijana semula.

“Bermula daripada tarikh keramat tersebut, perniagaan saya berjaya dikembangkan dengan nama KAKP atau Kak Pisang,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di premis perniagaannya di Setia Alam di sini baru-baru ini.

Fizlee, 35, yang berasal dari Subang Jaya itu kini berbangga apabila jenama komersialnya, KAKP: The Original Pisang Cheese sudah mula berkembang di sekitar Lembah Klang dan Melaka.

Produk pisang goreng pelbagai perisa itu telah dijual di sembilan premis cawangan termasuk pembukaan outlet komersial pertama syarikat tersebut di Setia Alam di sini, baru-baru ini.

Di sebalik kejayaan ibu beranak satu itu, Fizlee menjelaskan, beliau mula menceburi bidang makanan dan minuman pada tahun 2012 dengan memperkenalkan hidangan pencuci mulut di chalet miliknya yang diusahakan di Sabah.

“Ketika itu saya diserang demam panas dan memberi masalah kepada  gegendang telinga sehingga menyebabkan saya dirawat selama enam bulan di sebuah hospital swasta,” jelas beliau.

Mengulas mengenai kesan pandemik Covid-19, Fizlee mengakui berdepan cabaran sukar dalam keadaan ekonomi sukar kini.

“Antaranya melibatkan faktor kos sewa dan bahan mentah selain kesukaran mencari pekerja yang serius menceburi perniagaan ini.

“Hasrat utama saya mahu memartabatkan lagi pisang goreng tempatan ke peringkat lebih tinggi sekali gus membantu usahawan muda lain yang berminat untuk berniaga,” katanya.


Bagaimanapun, Fizlee sentiasa memanjat syukur kerana sentiasa mendapat sokongan khususnya daripada bersyukur kerana dibantu pelbagai pihak terutama Perbadanan Nasional Bhd. (PNS) untuk terus melangkah ke depan dalam arena perniagaan.

“Berbekalkan sokongan PNS, saya merancang untuk membuka tiga lagi outlet komersial tahun ini dan nilai sasaran jualan keseluruhan berjumlah RM1 juta.

“Selain jualan sehingga RM2 juta menerusi pembukaan sembilan lagi outlet tahun depan, saya bercadang menjadikannya sebagai produk seju beku untuk dipasarkan ke luar negara,”  katanya.

Produk KAKP boleh didapati di sekitar Shah Alam, Selayang, Wangsa Maju, Bangi, Kelana Jaya, Putrajaya, Ampang dan Hentian R&R Ayer Keroh, Melaka.

Selain keju dan coklat, pisang goreng yang dijual antaranya berperisa salted caramel, matcha, oren dan sambal kicap.

POPULAR