fbpx

ASB agih dividen, bonus RM151.9 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Amanah Saham Bumiputera (ASB) yang diuruskan Amanah Saham Nasional Bhd. (ASNB) telah memberi pulangan dividen dan bonus sebanyak RM151.9 bilion kepada pelabur sejak 30 tahun lalu.

Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Dr. Zeti Aziz berkata, sehingga 15 Jun lalu, ASB yang merupakan unit amanah kedua dilancarkan oleh Permodalan Nasional Bhd. (PNB) itu mempunyai lebih daripada 10 juta pemegang unit dengan 169 bilion unit dalam edaran.

Saham amanah tersebut mempunyai ciri-ciri unik yang berharga tetap iaitu RM1 dan hanya memerlukan pelaburan permulaan serendah RM10.

“ASB telah berkembang menjadi tabung unit amanah terbesar negara dengan pelaburan yang meluas dalam pelbagai instrumen kewangan dan syarikat utama negara di Malaysia pada hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam bersempena sambutan ulang tahun ASB yang ke-30 bertemakan Aspirasi Anda, Amanah Kami.

Selain itu, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB,  Ahmad Zulqarnain Onn menjelaskan, sepanjang tiga dekad lalu, pelbagai pembaharuan telah diperkenalkan demi kemudahan pelabur.

“Dahulunya, pegawai kami perlu turun padang ke kampung dan desa untuk memperkenalkan ASB dan merekod urus niaga pelabur dalam buku pelaburan secara manual.

“Tetapi kini, kemudahan pelaburan ASB telah melalui evolusi yang bermula dari rangkaian ejen dan pejabat pos, kemudian ditingkatkan pula menerusi perbankan internet dan terkini melalui portal dan aplikasi myASNB.”

“Pelabur juga kini boleh menamakan penerima untuk pelaburan mereka dalam ASB menerusi Hibah Amanah dan Pengisytiharan Amanah.

“Kami berharap dengan kemudahan ini, lebih ramai lagi pelabur bumiputera akan memilih ASB sebagai produk pelaburan pilihan mereka,” terangnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI