fbpx

Kemasan mewah Arteon R-Line

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEMASAN krom menghiasi bahagian gril hadapan kereta berkuasa turbo ini.

Volkswagen Arteon R-Line yang dilancarkan Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) pada Rabu lalu ialah jentera yang ditunggu-tunggu peminat jenama tersebut.

Mula dijual bagi pasaran global pada tahun 2017, kereta itu disifatkan sebagai salah satu jentera terbaik Volkswagen ekoran ciri-ciri yang didatangkan bersamanya.

Kenderaan pemasangan tempatan di kilang Volkswagen di Pekan, Pahang itu dilihat sebagai pengganti kepada kereta premium Volkswagen iaitu Passat CC.

Pengarah Urusan VPCM, Erik Winter pada majlis pelancaran Arteon di pusat beli-belah 1Utama di Petaling Jaya, Selangor juga menegaskan perkara sama.

Katanya, Arteon ialah sebuah jentera mengagumkan yang tidak perlu diperkenalkan lagi memandangkan kenderaan itu adalah model yang ditunggu-tunggu oleh rakyat Malaysia.

“Sebagai model utama kami yang baharu, Arteon nyata menaikkan lagi jenama Volkswagen kerana memiliki rekaan yang cantik, berprestasi tinggi dan memiliki fungsi terbaik.

“Dengan pakej R-Line, jentera Arteon ini lebih sporty,” katanya.

Reka bentuk seumpama coupe itu diserlahkan melalui garis bumbung yang lebih rendah, tingkap tanpa bingkai, cerun belakang yang bersambung hingga ke lampu belakang, sekali gus membuatkannya kelihatan lebih aerodinamik dan bergaya.

Cuaca

Reka bentuk itu juga memberikannya penampilan yang lebih mewah selain menyerlahkan rekaan sebuah fastback lima pintu yang tersendiri.

Arteon R-Line didatangkan dalam lima pilihan warna. Tiga daripadanya ialah warna metalik kuning kunyit (turmeric yellow), kelabu manganese, perak pyrite selain warna mutiara iaitu hitam (deep black) dan putih (oryx white pearl).

REKAAN R-Line menjadikan rupa Arteon sporty dan aerodinamik.

Sebagai sebuah model R-Line, penampilan luaran Arteon yang menarik perhatian itu diserlahkan menerusi kemasan krom hadapan yang agresif, lencana R-Line dan lampu utama LED. Lampu hadapannya juga dilengkapi ciri Dynamic Cornering Lights.

Spoiler belakangnya berwarna hitam, manakala rimnya daripada aloi Montevideo bersaiz 19 inci dengan kemasan krom.

Buat pertama kalinya, Arteon ini dilengkapi ciri All Weather Light iaitu sejenis lampu khas yang menawarkan pencahayaan lebih luas untuk meningkatkan kejelasan pandangan mengikut keadaan cuaca.

Turut menjadikan jentera itu tampak sporty dan mewah adalah ruang dalamannya. Penumpang hadapan pasti berpuas hati dengan keselesaan tempat duduk ErgoComfort bersama 14 tetapannya dan lencana R-Line pada kerusi.

Tempat duduk pemandunya pula dapat mengembalikan kesegaran tubuh kerana mempunyai fungsi urutan. Arteon turut dipasang dengan sistem bunyi Dynaudio yang menawarkan pengalaman audio premium bersama 11 unit pembesar suara, amplifier digital 16 saluran dan satu unit subwoofer 700 watt.

Ambien mewah itu ditambah dengan kemasan aluminium Silver Rise, pelapik bumbung hitam titanium, jam analog dan lampu ambien tiga warna.

Pada masa sama, kokpit digital bersaiz 11.7 inci pula membolehkan pemandu untuk mengakses data pemanduan menerusi enam pandangan skrin boleh ubah dengan lebih 30 pilihan kombinasi.

Sistem infohiburnya yang dilengkapi skrin sentuh Discover Pro bersaiz 9.2 inci membolehkan pemandu menghubungkan telefon pintar dengan Apple Car Play tanpa wayar.

Sementara itu, ciri Android Auto dan Mirrorlink boleh disambungkan dengan jentera ini menggunakan port USB Type C. Sistem itu menawarkan fungsi seperti kawalan suara, selain kebolehan akses menerusi isyarat tangan.

Bagi aspek keselamatan pula, Arteon R-Line didatangkan dengan beberapa teknologi unik seperti Post Collision Braking System yang berfungsi menghalang perlanggaran kali kedua.

Selain itu, ciri Intelligent Crash Response System (ICRS) berfungsi menyekat bekalan bahan api apabila berlaku kemalangan selain membuka pintu dan mengaktifkan lampu amaran.

Ciri Electronic Different Lock (XDS) pula menambah baik aspek cengkaman kenderaan ini.

Ciri-ciri keselamatan standardnya yang lain ialah Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Sistem Brek Antikunci (ABS), Bantuan Membrek (BA), Kawalan Pegun Bukit, Sistem Perlindungan

Penumpang Proaktif dan Bonet Aktif yang dapat memberi perlindungan lebih baik.

Arteon hadir dengan kamera Area View 360 yang menggabungkan empat buah kamera untuk menawarkan pandangan dari atas. Skrin itu juga boleh diubah kepada pandangan penuh atau terpisah.

Arteon R-Line didatangkan dengan enjin turbo 2.0 TSI dan kotak gear klac berkembar basah direct shift tujuh kelajuan (DSG) yang telah ditambah baik.

Menerusi enjin itu, jentera tersebut mampu menghasilkan kuasa sebanyak 190PS dan tork 320Nm.

Jentera ini juga hadir dengan Dynamic Chassis Control (DCC) bagi membolehkan pemandu mengubah suai tetapan kereta berdasarkan gaya pemanduan masing-masing. Terdapat 15 tetapan dengan tawaran lima mod pemanduan iaitu eco, comfort, normal, sport dan individual.

Arteon R-Line turut menawarkan ruang dalaman yang luas untuk semua lima penumpang. Hac belakang dengan bukaan yang luas pula memudahkan akses ke ruang kargo seluas 563 liter.

Bukan itu sahaja, bahagian belakangnya dilengkapi fungsi Easy Open yang membuka pintu but secara elektronik menggunakan sensor dengan pengesanan pergerakan kaki pemandu di bahagian bawah bampar. Pertama kali untuk model Volkswagen di Malaysia juga, Arteon R-Line serba baharu ini didatangkan dengan ciri Easy Close untuk penutupan pintu but secara automatik selepas 20 saat.

PAPAN pemuka Arteon R-Line mempunyai rekaan mewah dan elegan.

Arteon R-Line turut dilengkapi dengan Tyre Pressure Monitoring System yang memantau tekanan setiap tayar. Sementara itu, ciri Manoeuvre Braking pula membolehkan brek ditekan secara automatik untuk mengelak perlanggaran apabila mengesa sesuatu objek pada kelajuan sehingga 10 kilometer sejam dikesan.

Jentera premium tersebut dijual pada harga RM220,043 dan hadir dengan penyelenggaraan percuma selama tiga tahun selain jaminan tanpa had perbatuan dan bantuan tepi jalan selama lima tahun.

Harga ditawarkan itu sah hingga 31 Disember ini.

Untuk maklumat lanjut, layari laman web www.volkswagen.com.my.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI