fbpx

139 tabika, taska KEMAS di Kedah ditutup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad Yasid menyampaikan sijil penghargaan kepada sukarelawan penyedia PPE KEMAS Negeri Sembilan di Casa Lagenda Convention Centre di sini.

Oleh NOR SHAFAWATI YUP

SEREMBAN – Sebanyak 139 buah Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) dan Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) di Kedah diarahkan tutup sebagai langkah awal pencegahan Covid-19 yang semakin menular di negeri itu.

Ketua Pengarah KEMAS, Datuk Mohamad Yasid Bidin berkata, penutupan taska dan tabika KEMAS itu melibatkan seramai 2,747 pelajar.

“Tujuan penutupan tabika dan taska KEMAS di Kedah ini lebih kepada peringkat berhati-hati dan langkah awal pencegahan Covid-19.

“Proses sanitasi juga telah dilakukan oleh pihak guru dan jawatankuasa sedia ada walaupun tiada kes dilaporkan, tabika dan taska kita sebenarnya bersih dan selamat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Sijil Penghargaan kepada Sukarelawan Penyedia Peralatan Perlindungan Diri (PPE) KEMAS Negeri Sembilan untuk petugas Kementerian Kesihatan Malaysia.

Baru-baru dilaporkan terdapat kes baharu Covid-19 daripada kluster ‘Sivagangga’ dan ‘Tawar’ di Kedah.

Dalam pada itu, mengulas mengenai kehadiran pelajar tabika dan taska KEMAS, Mohamad Yasid berkata, pihaknya masih menetapkan sistem kedatangan secara bergilir iaitu hanya 50 peratus daripada jumlah kanak-kanak yang hadir dalam sehari berikutan saiz ruang pembelajaran yang terhad bagi membolehkan jarak sosial satu meter diamalkan.

“Kita memang ada menerima rungutan daripada ibu bapa disebabkan masalah ini (kedatangan pelajar secara bergilir) memandangkan sekarang tiada lagi sistem bekerja dari rumah dan mereka terpaksa mengambil cuti.

“Harap ibu bapa bersabar dan kita akan tunggu arahan daripada Kementerian Kesihatan selepas tamat Covid-19 supaya tabika dan taska Kemas dapat beroperasi sepenuhnya seperti sebelum ini,” katanya.

Terdahulu pada majlis tersebut, Mohamad Yasid telah menyampaikan sijil penghargaan kepada 94 sukarelawan KEMAS yang terdiri daripada 39 kakitangan KEMAS Negeri Sembilan dan 55 peserta Kelas Jahitan KEMAS Negeri Sembilan yang menyumbang tenaga menyiapkan 2,452 set PPE untuk kegunaan petugas hospital.

Sebanyak tiga usahawan juga telah menerima bantuan RM10,000 melalui Program Peningkatan Pendapatan di bawah Kementerian Luar Bandar membantu peniaga kecil yang membeli bahan atau peralatan untuk memajukan perniagaan mereka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI