fbpx

Tauke Restoran Salleh kena jel 20 bulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pengusaha Restoran Salleh dituduh atas empat pertuduhan ingkar perintah kuarantin di Hospital Alor Setar hari ini.

ALOR SETAR – Pengusaha Restoran Salleh di pekan Napoh dekat sini hari ini dijatuhi hukuman penjara 20 bulan dan denda RM12,000 selepas mengaku bersalah atas empat pertuduhan bagi kesalahan ingkar perintah kuarantin yang dikenakan terhadapnya pada Julai lalu.

Tertuduh, Nezar Mohamed Sabur Batcha, 57, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Mohd. Hadi Hakimi Harun.

Pertuduhan terhadap lelaki terbabit dibuat di pekarangan wad Hospital Alor Setar atau dikenali sebagai Hospital Sultanah Bahiyah II di sini kira-kira pukul 10 pagi ini.

Tertuduh masih menjalani proses kuarantin selepas disahkan positif Covid-19 pada 28 Julai lalu.

Majistret serta Timbalan Pendakwa Raya, Zabidah Ahmad dan jurubahasa difahamkan memakai sut peralatan perlindungan diri (PPE) manakala tertuduh mengenakan pelitup muka sepanjang kira-kira 45 minit prosiding berlangsung.

Mengikut kertas pertuduhan, dia yang bertaraf pemastautin tetap didakwa meninggalkan premis ditetapkan untuk menjalani pengawasan dan pemerhatian dengan berada di Public Bank Cawangan Jitra kira-kira pukul 3 petang, 14 Julai lalu.

Dia juga berdepan dengan tiga lagi pertuduhan atas kesalahan sama iaitu dengan berada di Pusat Khidmat Hasil Kubang Pasu Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Agro Bank Cawangan Jitra dan Bank Rakyat Cawangan Jitra antara pukul 3.35 petang hingga 4.40 petang pada hari yang sama.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 22(b) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(a) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Majistret kemudian menjatuhkan hukuman penjara lima bulan dan denda RM3,000 bagi setiap pertuduhan dengan hukuman penjara diperintahkan berjalan secara serentak mulai hari ini.

Tertuduh juga diarahkan menjalani hukuman penjara tiga bulan jika gagal membayar denda yang dikenakan bagi setiap pertuduhan.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI