fbpx

Suspek cuba rempuh polis ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan untuk menghentikan kereta yang dipandu suspek daripada melarikan diri.

KUALA LUMPUR – Beberapa das tembakan terpaksa dilepaskan pihak polis dalam usaha menghentikan sebuah kereta yang cuba melarikan diri selepas ditahan dalam satu kejadian di Jalan Sentul di sini hari ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 3.25 petang sewaktu anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Polis Kuala Lumpur menahan sebuah kereta jenis Proton Saga BLM berwarna perak susulan maklumat aktiviti pengedaran dadah yang diperolehi.

“Sebaik anggota memperkenalkan diri dan meminta pemandu tersebut untuk keluar dari kereta, suspek secara tiba-tiba bertindak agresif mengundurkan kereta sebanyak tiga kali sehingga melanggar kereta pasukan polis termasuk cuba melanggar anggota bertugas.

“Beberapa das tembakan telah dilepaskan ke arah tayar hadapan dan belakang kereta suspek demi mempertahankan diri serta untuk menghentikan kenderaan tersebut supaya tidak membahayakan orang awam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mazlan, suspek kemudiannya cuba memanjat bahagian tebing jalan sebelum menghentikan kereta dipandunya selepas anggota polis melepaskan tembakan pada tayar hadapan sebelah kiri kereta tersebut.

“Suspek merupakan lelaki tempatan berusia 38 tahun yang bekerja sebagai pembantu kedai runcit dan pemeriksaan telah menemui dadah jenis heroin seberat 450 gram serta dadah jenis syabu seberat 151 gram di bawah kerusi penumpang hadapan kereta suspek.

“Semakan mendapati suspek mempunyai lima rekod jenayah lampau berkaitan dadah selain turut positif dadah jenis methamphetamine, amphetamine dan thc,” katanya.

Jelas beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan permohonan reman ke atas suspek akan dibuat esok.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian boleh menyalurkannya dengan cara menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03 2115 9999 atau mana–mana balai polis berdekatan. K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI