fbpx

Isteri Guan Eng didakwa tiga pertuduhan pengubahan wang haram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Betty (kanan) dan Guang Eng (kiri) didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth, Seberang Perai hari ini

SEBERANG PERAI – Isteri bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, Betty Chew Gek Cheng dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth di sini hari ini atas tiga pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram.

Betty, 56, mengaku tidak bersalah bagi kesemua pertuduhan itu yang dibacakan ke atasnya di hadapan Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid.

Mengikut ketiga-tiga pertuduhan, beliau didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan menerima wang RM87,009 serta menerima wang RM180,000 dan RM105,000 hasil daripada aktiviti haram.

Betty didakwa menerima wang itu daripada syarikat Excel Property Management & Consultancy Sdn. Bhd. yang dimasukkan ke dalam akaun Public Bank Berhad.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Public Bank Berhad Cawangan Taman Melaka Raya, Melaka masing-masing di antara 7 Oktober 2013 dan 4 Ogos 2014, 3 September 2014 dan 11 Ogos 2015 serta 4 September 2015 dan 3 Mac 2016.

Betty didakwa melakukan kesalahan tersebut mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan (AMLA) 2001 (Akta 613).

Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM5 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

Bagi dua pertuduhan, beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) akta sama yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta yang mana lebih tinggi.

Pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib, manakala Betty diwakili peguam yang diketuai Lee Khai.

Kes berkenaan disebut semula pada 16 Oktober ini dan beliau dibenar dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM50,000 beserta seorang penjamin.

Terdahulu di mahkamah sama, Guan Eng mengaku tidak bersalah atas pertuduhan berkaitan rasuah mengikut Seksyen Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang melibatkan wang RM372,009. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI