fbpx

Dua lelaki gelang pink ditahan di LHDN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dua lelaki yang diarah kuarantin ditahan ketika mahu berurusan di bangunan Wisma Hasil di Kangar, Perlis hari ini.

Oleh NUR NAZLINA NADZARI

KANGAR – Dua lelaki dari Kampung Kuala Sanglang, Sanglang dekat sini yang diarahkan menjalani perintah kuarantin di rumah ditahan polis hari ini selepas bertindak keluar ke Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Cawangan Kangar untuk membuat pendaftaran Bantuan Sara Hidup.

Lelaki berusia 47 dan 60 tahun yang memakai gelang merah jambu itu ditahan di bangunan Wisma Hasil kira-kira pukul 11 pagi.

Terdahulu, kehadiran dua suspek yang pergi ke agensi itu dengan menaiki sebuah motosikal disedari orang ramai sebelum mereka membuat laporan polis.

Polis kemudian bergegas ke pejabat agensi berkenaan dan bertindak membawa pulang kedua-dua lelaki terbabit yang merupakan pesawah ke kampung mereka yang berada dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (Temco).

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew berkata, pihaknya memandang serius kes tersebut dan dua lelaki terbabit boleh disiasat di bawah Seksyen 270 Kanun Keseksaan serta Seksyen 14 dan 15 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

“Bagaimanapun, bagi kes ini saya memberi peluang kepada mereka untuk meneruskan perintah pengasingan di rumah dan diberi jaminan polis.

“Jika kes ini berulang lagi, saya akan pastikan mereka yang ditahan akan dimasukkan ke dalam lokap,” katanya kepada pemberita di Pondok Polis Kuala Sanglang di sini hari ini.

Sementara itu, tinjauan ke bangunan LHDN Perlis kira-kira pukul 12 tengah hari tadi mendapati pintu pagar masuk agensi tersebut telah ditutup dan orang awam tidak dibenarkan masuk. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI