fbpx

Beringat sebelum kesihatan terancam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar Hiasan.
MUHAMMAD RIDUAN MOHD. HANAFIAH
WARTAWAN EKSEKUTIF

 

PERMAINAN video kini menjadi satu budaya baharu dalam kalangan generasi muda, malah permainan elektronik sukan (e-Sukan) di Malaysia kini menjadi fenomena sehingga mereka sanggup menghabiskan waktu berjam-jam di depan skrin.

Dahulu permainan video­ terhad di platform komputer,namun pada era masa kini ternyata berbeza apabila ia di hujung jari sahaja menerusi telefon bimbit.

Malah ketika dunia dilanda pandemik Covid-19, aktiviti permainan video meningkat 10 kali ganda berbanding biasa. Perbelajaan bagi permainan video digital mencecah AS$10 bilion (RM43.6 bilion) pada Mac iaitu paras ter­tinggi dalam sejarah dunia.

Wang yang dibelanjakan untuk permainan konsol utama me­ningkat AS$1.5 bilion (RM6.5 bilion) pada Mac daripada AS$883 juta (RM3.85 bilion) pada Februari, manakala perbelanjaan untuk komputer peribadi ber­prestasi tinggi melonjak 56 peratus kepada AS$567 juta (RM2.47 bilion) berbanding bulan sebe­lumnya.

Fenomena itu bukan sahaja berlaku di luar negara, malah di Malaysia juga menerima tempias ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Bagaimanapun, aktiviti permainan video ini mampu memberi kesan terhadap psikologi dan fizikal pemain jika ia tidak dipraktikkan dengan cara betul.

Pada perlawanan antarabangsa, kita lihat beberapa pemain ternama dunia terpaksa bersara dalam dunia e-Sukan kerana berdepan masalah kesihatan.

Menurut pengasas Esports MedicA, Dr. Zatul-‘Iffah Abu Hasan, komuniti e-Sukan perlu dididik mengenai masalah kesihatan yang mungkin mereka akan hadapi akibat bermain permainan video tanpa kawalan.

“Bermain permainan video tidak salah, tetapi ia perlu dimainkan secara sihat. Perkara yang kita bimbang ketika ini adalah individu yang mengabaikan kesihatan sehingga ketagihan.

“Sebab itu, kami lebih cen­derung untuk mendidik individu yang baru berjinak-jinak dengan permainan video ini,” katanya.

Beliau juga bimbang mereka akan mengalami kerosakan mata, telinga dan gangguan mental berpunca daripada tekanan.

“Saya tidak bimbang dengan pemain profesional negara ke­rana mereka mempunyai jadual latihan yang mengambil kira waktu rehat, senaman dan pengambilan makanan seimbang.

“Mereka juga mempunyai jurulatih pasukan masing-masing. Individu yang minat bermain permainan video amat digalakkan untuk mempunyai jadual harian,” ujarnya.

Pakar Oftalmologi Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia dan juga Penasihat Perubatan Esports MedicA, Dr. Maimunah Abdul Muna’aim berkata, permainan video tanpa kawalan boleh menyebabkan kecederaan serius terutama pada mata.

“Saya harap mereka di luar sana bermain secara sihat. Jika tidak dikawal dan dipantau, ia amat berbahaya terutama kepada kanak-kanak. Antara simptom awal yang boleh dikesan iaitu mata kering, berair, tidak selesa, mata kabur dan sebagainya.

“Mereka digalakkan bermain dengan pencahayaan yang cukup dan jarak anda dengan skrin mestilah 40 sentimeter (cm) hingga 50cm.

“Selepas satu jam anda bermain, anda digalakkan melakukan senaman mata seperti kerdipan sebanyak tiga hingga lima kali dalam beberapa saat.

“Anda dinasihatkan berehat dan melihat objek sejauh 20 kaki selama 20 saat selepas 20 minit bermain. Ini adalah langkah-langkah selamat yang boleh dipraktikan,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI