fbpx

Padah tunjuk isyarat lucah pada polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Tindakan seorang juruteknik yang menunjukkan isyarat lucah kepada pegawai polis, memakan diri apabila dia didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini sebentar tadi.

Majistret Aina Azahra Arifin menjatuhkan hukuman itu terhadap R. Vinotheran, 28, selepas tertuduh mengaku salah atas pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara selama dua bulan sekiranya gagal membayar jumlah denda dan tertuduh membayarnya.

Mengikut pertuduhan, Vinotheran didakwa menunjukkan isyarat lucah yang telah mengaibkan kehormatan pegawai polis Sukdev Singh Karnail Singh yang berpangkat Inpekstor di Jalan Tunku Abdul Halim berhadapan dengan Istana Negara, di sini pukul 5 petang pada 3 Julai lalu.

Berikutan itu pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Illya Syaheedah Mohd Razif memohon hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran terhadap tertuduh dan orang lain untuk tidak melakukan kesalahan sama.

“Hukuman setimpal itu juga supaya orang awam tidak sewenang-wenangnya menunjukkan isyarat lucah terhadap sesiapa sahaja, apatah lagi kepada pegawai penguatkuasa,” katanya.

Bagaimanapun, Vinotheran yang diwakili peguam P. Suthes merayu hukuman ringan dikenakan ke atasnya atas alasan anak tertuduh perlu menyara kedua orang tua termasuk seorang kakak orang kelainan upaya (OKU).

Sementara itu, di mahkamah sama, seorang tukang masak dijatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM10,000 selepas mengaku bersalah mencuri daging wagyu tempat hotelnya bekerja.

Mengikut pertuduhan, Kevin Chin Ming Wei, 47, didakwa mencuri daging wagyu bernilai RM10,700 di sebuah restoran hotel di sini, pukul 8 pagi pada 16 Julai lepas.

Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI