fbpx

Berhemah urus pelitup muka terpakai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
SHAWKATH AZDE, WARTAWAN EKSEKUTIF

 

BERMULA 1 Ogos lalu, kerajaan sudah mewajibkan orang ramai untuk memakai pelitup muka semasa berada di tempat awam atau sesak bagi mencegah jangkitan dan penularan wabak Co­vid-19.

Pendekatan ini diambil selepas sebahagian daripada kita alpa dengan apa yang sudah dilalui ketika Perintah Kawalan Pergerakan yang menyumbang kepada peningkatan semula kes jangkitan Covid-19.

Golongan mudah alpa ini kembali beringat selepas sedar potensi didenda sebanyak RM1,000 dan diheret ke mahkamah seandainya masih enggan memakai pelitup muka di lokasi tumpuan ramai.

Jika diperhatikan, orang ramai termasuk warga asing sudah patuh terhadap pemakaian pelitup muka. Malangnya, ramai juga membuang pelitup muka terpakai di merata-rata tempat. Perbuatan ini mengundang pencemaran alam selain potensi jangkitan baharu.

Pensyarah Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar, Fakulti Sains dan Teknologi di Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr. Mohd. Talib Latif berkata, pelitup muka yang dibuang me­rata-rata akan bergerak bersama aliran air hujan ke sungai sete­rusnya ke laut.

“Kebanyakan pelitup muka yang dipakai diperbuat daripada bahan polipropilena yang akan mengambil masa untuk terdegredasi secara semula jadi.

“Ia akan memberi kesan yang hampir sama seperti membuang plastik ke laut.

“Pelitup muka ini boleh dianggap sebagai makanan oleh sesetengah hidupan marin. Ia mudah tersekat di dalam sistem penghadaman haiwan dan menyebabkan kematian,” kata­nya.

Menurut beliau, kebanyakan pelitup muka diperbuat daripada bahan polipropilena dan tidak memberikan kesan berbahaya kepada manusia dan haiwan secara langsung.

“Ia berbahaya sekiranya tidak dilupuskan dengan cara betul dan dibuang ke dalam sungai atau laut serta mengalami proses degradasi.

“Degradasi bahan seperti pelitup muka dalam jangka panjang boleh menyebabkan keha­diran mikroplastik polipropilena di laut dan memasuki ke dalam sistem rantai makanan.

“Mikroplastik dikenal pasti sebagai bahan yang boleh menye­rap bahan toksin dan seterusnya menyebabkan kesan keracunan kepada hidupan laut,” jelasnya.

Beliau berkata, denda harus dikenakan kepada mereka yang membuang pelitup muka terpakai di merata-rata tempat.

Sementara itu, pakar perubatan di Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Profesor Tan Sri Dr. Mohd Amin Jalaludin turut menasihatkan orang awam supaya membuang pelitup muka di tempat selamat kerana dikhuatiri boleh menyebabkan jangkitan lain.

Katanya, kuman dan virus dalam badan seseorang boleh melekat pada permukaan pelitup muka jika pemakainya bersin atau batuk.

“Ada partikel kuman dan virus yang boleh terbang di udara. Ada yang cuma bertahan beberapa saat dan ada juga jangka hayat lebih lama seperti tuberkulosis (tibi),” jelasnya.

Beliau menyarankan pekerja-pekerja pembersihan diberi latihan oleh syarikat bertauliah berhubung cara pengurusan pelitup muka terpakai yang dikutip di kawasan awam.

“Saya sangat setuju sekiranya ada tong sampah khas disediakan sebagai cara terbaik membuang atau melupuskan pelitup muka terpakai,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI