fbpx

PKPD bersasar di Sanglang mulai malam ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PKPD bersasar dilaksanakan di dua buah kampung di Sanglang, Perlis mulai pukul 10 malam ini.

KANGAR – Kerajaan Negeri Perlis bersetuju untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara bersasar di Kampung Kuala Sanglang dan Kampung Tanah Timbul di Sanglang dekat sini selama 28 hari mulai malam ini.

Kerajaan negeri dalam satu kenyataan berkata, keputusan itu dibuat menerusi Jawatankuasa Keselamatan Negeri Perlis berkenaan Covid-19.

“PKPD secara bersasar atau Targeted Enhanced Movement Control Order (TEMCO) ini dilakukan di Kampung Kuala Sanglang dan Kampung Tanah Timbul bermula pukul 10 malam ini sehingga 4 September ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata kenyataan itu, pelaksanaan perintah kawalan pergerakan itu dibuat selepas mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia dengan mengambil kira bilangan kes aktif Covid-19 di kawasan berkenaan.

“Pengisytiharan ini dibuat bagi membolehkan aktiviti pengesanan yang telah dimulakan oleh Jabatan
Kesihatan Negeri Perlis sejak semalam dilaksanakan dengan lebih berkesan di kedua-dua kampung terlibat,” ujarnya.

Justeru, penduduk diharapkan dapat memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa kerana pelaksanaan TEMCO akan menggunakan prosedur operasi standard (SOP) PKPP sedia ada.

“Pelaksanaan SOP PKPP adalah dengan tambahan kepada pelaksanaan sekatan jalan raya (SJR) di setiap laluan keluar masuk ke kawasan TEMCO.

“Orang awam yang berada di luar kawasan TEMCO tidak dibenarkan masuk kecuali mereka yang terlibat dengan memberikan perkhidmatan perlu seperti makanan, air, perubatan, kedai runcit dan perbankan,” jelasnya.

Berhubung arahan kuarantin, penduduk yang telah menjalani saringan Covid-19 terlibat diminta supaya mematuhi perintah tersebut.

“Sepanjang tempoh arahan kuarantin di rumah, ketua isi rumah dibenarkan untuk keluar dari rumah bagi membeli barang keperluan harian sementara menunggu seluruh ahli isi rumah memperoleh arahan pelepasan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Perlis.

“Arahan pelepasan akan dikeluarkan setelah keputusan ujian saringan Covid-19 didapati negatif yang mana keputusan boleh diperoleh tidak melebihi empat hari dari tarikh saringan dilakukan,” katanya.

Tambah kenyataan itu lagi, kerajaan negeri amat prihatin kesulitan yang dialami dan akan menyalurkan bantuan kepada penduduk terlibat. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI