fbpx
GANG DONG-WON

Ikrar, cinta mati Gang Dong-won

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Ketika seluruh dunia sedang berjuang, bertahan dan melawan pandemik Covid-19 yang masih belum menemui penawar, kehadiran filem aksi berjudul Peninsula di panggung wayang mencatat rekod tersendiri dalam sejarah perfileman Korea Selatan.

Dalam badai pandemik yang tidak menampakkan penyelesaian, negara tersebut merekodkan jumlah penonton seramai tiga juta orang ketika hari pertama tayangannya pada 15 Julai lalu.

Catatan tersebut satu angka yang cukup tinggi bagi naskhah yang ditayangkan sewaktu sektor ekonomi dunia, terutama hiburan berdepan banyak kekangan untuk meneruskan operasi sebagaimana lazim.

 

“DIA memiliki banyak wajah dan mudah membawakan apa sahaja watak baik antagonis mahupun komedi,” ujar pengarah Yeon Sang-ho terhadap pemilihan Gang Dong-won sebagai wajah utama Peninsula.

 

Di lapan buah negara Asia termasuk Malaysia, Peninsula meraih jumlah kutipan sebanyak USD$40 juta dolar (RM169 juta) seperti memetik laporan Yonhap News Agency pada 4 Ogos lalu.

Di sebalik kejayaan yang ditempa produksi Peninsula, sebaris nama gah yang menjadi perhatian peminat ketika ini adalah Gang Dong-won, figura kacak yang memegang peranan pelakon utama naskhah tersebut.

Peninsula bukanlah karya perdana aksi Dong-won kerana aktor tinggi lampai itu cukup terkenal sebagai seorang pelakon yang laris menjual jajaran naskhah bergenre ‘bahaya’ lakonan.

Cuma, apa yang menjadikan Peninsula begitu istimewa berbanding naskhah lain sehingga mendorong pembabitan Don-won ialah aksi serangan zombi sebagai kandungan penceritaan.

“Ketika mengetahui pengarahnya Yeon Sang-ho sedang dalam pembikinan sekuel Train To Busan, saya tidaklah berminat sangat untuk ambil tahu mengenainya.

“Bagaimanapun, disebabkan karya Train To Busan itu sendiri sebuah karya asli, saya jadi berminat dan sangat tidak sabar untuk mengetahui isi filem itu sebelum penggambaran bermula,” ujarnya yang mengakui sangat tertekan untuk memastikan hasil sekuel itu lebih baik berbanding versi asal, Train To Busan (2016).

Barangkali bagi sesetengah peminat naskhah Korea Selatan, deretan nama kacak lagi popular seperti Gong-yoo, Lee Dong-wook, Lee Min-ho, Kim Soo-hyun, Kim Woo-bin, Park Seo-joon, Hyun-bin dan Song Joong-ki sangat sebati dalam pengamatan mereka.

Ironinya, Dong-won juga salah seorang aktor kelas A dan berprofil tinggi di Korea Selatan. Sayangnya, mungkin disebabkan penyerahan jiwanya lebih ke layar lebar, wajah lelaki itu agak sukar dilihat dalam kaca televisyen.

Namakan apa sahaja filem yang dilakonkan Dong-won, semuanya menempa hit tersendiri di panggung wayang. Daripada watak romantik mahupun antagonis, kemudian beralih ke karakter lebih romantik dan ringan, semuanya dijayakan aktor berkaliber itu sedikit pun tanpa culas.

 

CUKUP terkenal dengan jelmaan watak yang pelbagai, Dong-won bagaimanapun mengakui belum cukup puas meneroka banyak karakter lagi dalam lakonannya.

 

Jatuh cinta

Deretan filem yang dibintangi aktor graduan dari Universiti Hanyang, Seoul itu bukan sembarangan. Ada bermacam jenis genre sudah dicubanya sepanjang hampir dua dekad memeluk erat gelaran aktor.

Cuma ketika menyertai barisan pemain Peninsula, ternyata ada satu perasaan baharu yang bercambah dalam dadanya selepas mengenali genre aksi zombi.

“Saya tidak pernah berminat untuk ambil tahu tentang filem zombi. Filem seram dan mistik memang kesukaan tetapi anggapan saya terhadap naskhah zombi, jenis itu kurang menyeramkan.

“Sehinggalah saya sendiri terlibat dalam naskhah Peninsula, barulah saya sedar. Oh, rupa-rupanya ini sebab mengapa penonton suka cerita zombi.

“Tekanan psikologi agak kurang berbanding filem mistik tetapi dari segi aksi, zombi menyuntik lebih banyak emosi dan elemen debaran,” ujarnya yang mengakui pada awalnya tidak meletakkan jangkaan tinggi untuk Peninsula berikutan pandemik Covid-19.

Dalam filem berkenaan, Dong-won memegang watak sebagai Jung-seok, seorang bekas tentera yang hidup dalam rasa bersalah akibat serangan zombi. Dia beraksi di samping barisan pelakon lain seperti Lee Jung-hyun, Lee Re, Kwon Hae-hyo, Kim Min-jae, Koo Gyo-hwan dan Kim Do-yoon.

 

BAGI menghilangkan tekanan ketika menjayakan Peninsula, Dong-won banyak melakukan perbincangan dua hala dengan pengarah untuk membuahkan idea di set penggambaran.

 

Kahwin satu beban

Dilahirkan di Busan, karier Dong-won pada awalnya bermula sebagai model peragaan ketika berusia 19 tahun. Antara jenama terkenal yang pernah diperagakan aktor berketinggian 186 sentimeter itu di pentas fesyen, termasuklah DKNY, Gucci dan Hugo Boss.

Kemudian, perlahan-lahan kariernya beralih arah ke landasan hiburan. Semuanya bermula selepas Don-won menyertai sesi uji bakat pencarian model untuk klip video lagu I Swear nyanyian penyanyi Jo Sung-mo. Dari situ, dia mendapati dunia lakonan sangat menyeronokan.

Dalam fikirannya, lakonan disifatkan sebagai kebahagiaan yang dicari-cari selama ini. Tidak lama kemudian, dia mengambil langkah berhenti daripada bergelar peragawan.

Debut pertama Dong-won ialah pada 2003 menerusi drama Country Princess dan Something About 1% sebelum bakatnya pantas digilap di layar lebar menerusi filem perdana berjudul Too Beautiful To Lie (2004).

Saat ini ketika usianya menjangkau 40 tahun, adrenalin Dong-won untuk terus mengabdikan diri pada satu hal yang sangat dicintainya iaitu lakonan tidak pernah sekali pun menemui titik noktah.

Ikrarnya, hanya mati yang akan memisahkan dia dengan lakonan. Sama seperti apa yang pernah diucapkan ketika menggondol anugerah Pelakon Lelaki Baharu Terbaik menerusi filem Temptation of Wolves (2004).

“Saya akan bekerja keras sampai mati. Sehingga ke hari ini, perasaan dan semangat itu tidak pernah hilang. Sudah sebati dalam jiwa saya yang lakonan adalah segala-galanya. Saya ingin berlakon hingga ke hujung nyawa,” tegas Dong-won memaknakan pegangan diri. Baginya usia yang semakin meningkat bukanlah petanda awal untuk memperlahankan rentak karier.

 

GANG Dong-won ada terfikir untuk berumah tangga, namun pada sama dia menyifatkan fasa untuk menempuh alam perkahwinan sangat membebankan.

 

Sekian lama bergelumang dalam penat lelah industri lakonan, kematangan dalam jiwanya menjadi candu yang tidak ingin dilepaskan walau sesaat.

“Saya ibaratkan diri sedang berada di puncak. Sampai masanya, bila-bila masa saya akan melompat tinggi ke langit.

“Sudah 17 tahun pengabdian jiwa dan diri saya kepada dunia lakonan. Sekarang saya masih dan sentiasa bersedia untuk bekerja bagi tempoh 40 tahun akan datang,” katanya.

Dedikasi penuh yang ditumpahkan terhadap kerjaya kadangkala membuatkan Dong-won sedikit lelah dan tercari-cari waktu sesuai untuk merehatkan badan.

“Saya sangat teringin untuk bercuti. Tidak mahu ke luar negara, sebab lokasi lokal seperti Busan atau Pulau Jeju sangat menarik. Cuma buat masa ini saya tidak ada masa,” ujarnya.

Jika waktu untuk berehat pun tiada, agaknya bilakah masa untuk Dong-won bercinta dan berkahwin? Barangkali itu persoalan yang sering menjadi tanda tanya peminat.

Memberi respons terhadap perihal peribadinya, aktor yang pernah digosipkan bercinta dengan aktres Song Hye-kyo itu mengakui, perkahwinan ialah perkara yang sangat membebankan.

Bukan dari sudut negatif, namun apa yang dimaksudkan Dong-won, dia perlu bersiap dari segi mental dan fizikal sebelum benar-benar bersedia menyandang jawatan sebagai suami sekali gus ketua keluarga.

“Saya teringin untuk mendirikan rumah tangga, tetapi fasa untuk menempuh alam perkahwinan sangat membebankan.

“Seseorang harus mempersiapkan banyak hal sebelum berkahwin,” ujarnya yang hanya dua kali terkait gosip cinta selama lakonan berakar di jiwa.

Aktor yang disifatkan mampu menjelma dalam sebarang karakter ini bersumpah, hidup matinya untuk dunia lakonan.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN