fbpx

Peluang kedua Faizal, Fitri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FAIZAL (kiri) dan Fitri digugurkan daripada skuad kebangsaan oleh Oltmans tanpa sebarang alasan sebelum ini.

PELANTIKAN Arul Selvaraj sebagai ketua jurulatih baharu skuad hoki lelaki negara pastinya satu berita gembira buat pasangan adik beradik, Faizal dan Fitri Saari.

Dua bintang hoki negara itu digugurkan daripada skuad Malaysian Tigers oleh bekas ketua jurulatih, Roelant Oltmans awal tahun ini tanpa menjelaskan alasan sebelum beliau membuat keputusan melepaskan jawatannya baru-baru ini.

Oltmans berbuat sedemikian atas alasan enggan berjauhan dengan keluarganya di Belanda dalam situasi penularan wabak pandemik Covid-19 ketika ini tetapi dalam masa sama beliau telah menandatangani kontrak dengan sebuah kelab di negara berkenaan, SV Kampong.

Ia menyaksikan Arul yang sebelum ini dilantik sebagai penolong jurulatih pada 15 Julai lalu, terus dinaikkan pangkat sebagai ketua jurulatih dengan kontrak selama dua tahun daripada Konfederasi Hoki Malaysia (MHC).

Fitri yang sememangnya nadi bahagian tengah skuad negara, mengakui masih berminat untuk kembali menyarung jersi kebangsaan dan bersedia memikat hati Arul pada saingan Piala Tun Abdul Razak yang akan berlangsung bulan depan.

“Saya sentiasa menyimpan hasrat untuk kembali ke dalam skuad negara tetapi saya tahu ia bukan semudah memetik nama sahaja. Saya perlu buktikan saya masih relevan dengan prestasi pada Piala Tun Abdul Razak nanti.

“Bagaimanapun, saya terikat dengan kerja di Majlis Sukan Negara (MSN). Andai kata terpilih, saya berharap Presiden MHC (Datuk Seri Subahan Kamal) dapat berbincang dengan (Ketua Pengarah MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Faizal pula mengambil pendekatan kunci mulut tetapi apa yang pasti penyerang prolifik itu sudah tentu menyimpan hasrat sama seperti adiknya untuk kembali membantu skuad negara menghadapi Trofi Juara-Juara Asia di Dhaka, Bangladesh pada November ini.

Faizal dan Fitri adalah watak penting buat skuad Malaysian Tigers sejak 2014 sebelum Oltmans membuat kejutan menggugurkan kedua-dua pemain itu dengan kejohanan antarabanga terakhir mereka berdua ialah kelayakan Olimpik di London hujung tahun lepas. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI