fbpx

Covid-19 jejas dana pasukan Liga M

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SELANGOR sedia menamatkan misi 34 pada saingan Piala Malaysia musim ini.

PASUKAN Liga Malaysia (Liga M) berdepan tamparan hebat apabila pihak pengurusan persatuan dan kelab mengalami kerugian jutaan ringgit susulan pandemik Covid-19 yang melanda dunia sejak awal tahun ini sehingga menyaksikan saingan dihentikan hampir lima bulan.

Sebanyak 24 pasukan terma­suk pasukan feeder Liga Super dan Liga Premier mempunyai masalah yang sama tidak kira memiliki status pengurusan lima bintang atau pasukan bawahan.

Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) yang memiliki rekod bersih sebagai antara persatuan meningkat naik turut kerugian sehingga lebih RM4 juta ekoran pandemik Covid-19 tahun ini.

Setiausaha Agung FAS, Dr. Johan Kamal Hamidon berkata, setiap pasukan terjejas dan Selangor tidak terkecuali terkena tempias selepas saingan Liga M dihentikan sejak Mac lepas.

“Saya tidak nafikan kantung FAS terjejas ekoran pandemik Covid-19 dan saya percaya setiap pasukan alami masalah sama.

“Bagi FAS, beberapa penaja mengambil keputusan untuk tidak menyambung penajaan. Namun, kami masih berbincang agar penaja terus komited.

“Jika ditolak, kemungkinan kami kehilangan RM2 juta hingga RM3 juta dana penajaan.

“Selain itu, antara masalah terbesar adalah hasil penjualan tiket kerana setiap pasukan bergantung dengan kehadiran penyokong ke stadium. Jika diikutkan, FAS kehilangan hampir RM1.5 juta,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Bagaimanapun, FAS mengakui beberapa proses penjimatan telah diambil dan antara yang dilakukan adalah mengurangkan gaji pemain, barisan kejurulatihan dan pegawai termasuk pasukan feeder iaitu Selangor 2.

“FAS turut melakukan proses penjimatan termasuk penstrukturan tangga gaji dua pasukan kami selain mempelbagaikan cabang perniagaan,” katanya.

 

PASUKAN Perak terpaksa melakukan penjimatan dengan pemotongan kurang daripada 10 peratus selepas terjejas akibat pandemik Covid-19.

 

Sementara itu, Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Mohamad Azlin Mohd Nadzri turut senada dan mengakui pasukan The Bos Gaurus terkesan dengan penularan Covid-19 tetapi kerugian tidak dapat didedahkan.

Kata Azlin, aliran kewangan terjejas sejak penularan Covid-19 kerana sumber pendapatan utama seperti kutipan tiket tidak dapat dilaksanakan.

“Kita tidak nafikan bahawa penularan Covid-19 ini turut memberi kesan terutama struktur ali­ran tunai.

“Cuma, penaja memberi maklum balas positif dan kita harap ia kekal berlanjutan hingga akhir musim serta tahun akan datang.

“Selain itu, kami turut mengintai peluang daripada sudut perniagaan selepas membuka kedai atas talian dan butik cenderamata rasmi Perak di Ipoh,” katanya.

Mengulas lanjut, Azlin mengakui PAFA tidak mempunyai masalah untuk menjaga kebajikan pemain selain membayar gaji seperti biasa dan hanya melakukan penjimatan dengan pemotongan gaji kurang 10 peratus.

“Pemain tiada masalah de­ngan langkah itu dan memahami mengenai masalah yang dihadapi ketika ini. Pasukan tetap menjaga kebajikan mereka,” katanya.

Perkara sama turut diluahkan Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Tengku Farouk Husin Tengku Abdul Jalil yang menyatakan skuad Penyu itu turut mengalami kerugian jutaan ringgit akibat pandemik Covid-19.

Ujarnya, pihak PBSNT terpaksa melakukan pelan penjimatan dengan pengurangan gaji pemain untuk memastikan kebajikan mereka terjamin.

“Apa yang saya boleh katakan kita kerugian jutaan ringgit hingga menyebabkan aliran kewangan pasukan terjejas.

“Sebahagian daripada pemberian gaji pemain bergantung menerusi duit tiket dan juga daripada pihak penaja,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI