fbpx

Oltmans sah letak jawatan – Subahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SUBAHAN (duduk dua dari kiri) mengesahkan bahawa Oltmans sudah meletak jawatan dan melantik Arul sebagai pengganti pada sidang akhbar di Bukit Jalil semalam.

KONFEDERASI Hoki Malaysia (KHM) tidak terkejut dengan peletakan jawatan ketua jurulatih skuad Hoki lelaki kebangsaan, Roelant Oltmans yang dikatakan sudah menandatangani kontrak dengan kelab elit Belanda, SV Kampong.

Bekas jurulatih Pakistan itu sebelum ini dilantik bagi menggantikan khidmat Stephan Van Huizen pada September 2018 bagi memastikan misi memburu slot ke Sukan Olimpik Tokyo tercapai.

Bagaimanapun, kemasukan Oltmans itu tidak berupaya untuk menamatkan penantian 20 tahun skuad Malaysia ke pentas Olimpik setelah dikecewakan oleh Britain pada aksi kelayakan akhir di London tahun lepas.

“Secara jujur, apa yang saya boleh katakan kita telah me­lakukan perbincangan tetapi kita tidak tahu beliau akan menyertai mana-mana pasukan. Tetapi dia ada cakap untuk mencari peluang kembali ke Belanda.

“Saya tidak terkejut dengan khabar angin yang menyatakan dia menyertai pasukan di Belanda. Saya mungkin terkejut jika dia dilantik mengedalikan pasukan seperti Pakistan, Korea Selatan atau India,” katanya pada sesi sidang akhbar di Bukit Jalil semalam.

Ketiadaan Oltmans itu me­nyaksikan KHM sebulat suara me­lantik penolong skuad hoki lelaki kebangsaan, Arul Selvaraj sebagai ketua jurulatih dengan sasaran utama menyediakan pasukan terkuat bagi menghadapi Sukan Asia 2022.

Subahan berkata, bekas pemain kebangsaan itu yang kini berada di Dublin, Ireland dijangka memulakan tugasnya dalam tempoh dua minggu selepas tamat tempoh kuarantin wajib yang akan beliau jalani apabila pulang ke tanah air tidak lama lagi.

“Hari ini juga, selepas Jawatankuasa Kejurulatihan berme­syuarat, kami secara rasminya melantik Arul untuk mengendalikan skuad kebangsaan berkuat kuasa serta merta. Arul diberikan kontrak dua tahun dan beliau akan mempersiapkan pasukan untuk kejohanan-kejohanan akan datang.

“Arul juga akan diberikan peluang untuk memilih pemain yang beliau rasakan perlu untuk berada di dalam pasukan kebangsaan,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI